Top Social

KARANGAN Langkah-langkah Bagi Menangani Gejala Vandalisme di Sekolah

5 Aug 2018

GEJALA VANDALISME
Isu : Gejala Sosial di sekolah
Kata Kunci : Langkah-langkah bagi menangani
Sasaran : Umum/Masyarakat
Format : Rencana

Langkah-langkah Bagi Menangangi Gejala Vandalisme di Sekolah
Disediakan oleh : Hebatallah Kamaluddin

Saban hari, berita gejala vandalisme dalam kalangan murid yang tidak pernah lekang dipaparkan di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari semakin menggusarkan hati semua pihak. Isu ini sering hangat diperkatakan oleh marhaen tanpa jalan penyelesaian yang kukuh dan ampuh. Setiap hari, kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk membaiki semula infrastruktur sekolah yang dibobrokkan oleh murid-murid. Walhal, wang sebanyak itu seyogia dimanfaatkan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah bgai keselesaan murid-murid dan guru-guru. Pada zaman nenek moyang kita, murid-murid amat menghargai kerusi, meja dan harta benda sekolah lain kerana mereka mempunyai kewarasan dan budi pekerti yang tinggi. Namun kini, murid-murid kontemporari yang kononnya canggih dan maju memperlakukan harta benda sekolah seperti batu yang tiada nilainya. Menurut kajian Kementerian Pelajaran Malaysia, salah satu daripada lapan gejala yang semakin menjadi-jadi kini ialah masalah vandalisme. Usaha membaiki dan membeli harta benda sekolah ibarat mencurah garam ke laut karna akhirnya akan dirosakkan oleh murid-murid yang tidak berhati perut. Menyedari masalah ini, apakah langkah-langkah yang dapat diambil bagi menangani gejala vandalisme di sekolah?

   Pihak sekolah perlulah membendung masalah ini dengan memberikan pendidikan tentang keburukan gejala vandalisme melalui proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Jika mereka tidak dididik oleh ibu bapa di rumah tentang aspek ini, pihak sekolahlah yang memikul obligasi mentarbiah murid-murid kerana sekolah merupakan institut utama dalam pembangunan modal insan yang terbilang serta diibaratkan sebagai rumah kedua bagi para murid. Guru-guru pula umpama ibu bapa kedua murid-murid yang memandu mereka melakukan kebaikan. Perbuatan gejala ini semakin signifikan dan menular persis virus epidemik terutamanya dalam kalangan murid-murid sekolah. Murid-murid yang berdarah muda ialah insan yang masih mengalami proses kematangan fizikal dan mental dan masih tidak dapat membezakan yang mana intan dan yang mana permata. Oleh itu, mereka tidak segan silu untuk memberontak dan melepaskan emosi kemarahannya terhadap harta benda sekolah. Guru-guru perlulah sering menasihati mereka mengenai gejala ini kerana tiada satu maslahat pun yang dapat diperoleh daripada aktiviti yang tidak bermoral ini. Mereka perlu ditarbiah untuk menyayangi harta benda sekolah sebagaimana mereka menyayangi diri mereka sendiri. Jika mereka dinasihati oleh guru sejak usia dini lagi, merek tidak akan merosakkan harta benda sekolah apabila berganjak remaja kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tegaslah bahawa peranan pihak sekolah terutamanya guru-guru memberikan impak dominan dalam membejat gejala vandalisme yang memberikan kesusahan kepada orang ramai.

   Selain itu, undang-undang di sekolah perlulah dijalankan dengan lebih tegas. Langkah ini ialah langkah yang paling ampuh kerana tiada orang di muka bumi ini yang mahu dihukum dengan hukuman yang berat. Jika murid melakukan vandalisme, pihak disiplin perlulah menjatuhkan hukuman seperti hukuman sebatan ataupun gantung sekolah supaya gejala ini tidak menular dan mencemari perilaku murid-murid lain serta menjadi duri dalam daging kepada pihak seolah. Kesalahan murid-murid yang melakukan vandalisme seperti memecahkan pintu bilik darjah, menconteng dinding kelas dan tandas, merosakkan mesin-mesin canggih di sekolah dan kemudahan sekolah yang lain perlulah dilaporkan kepada ibu bapa mereka supaya ibu bapa mereka menjadi lebih prihatin terhadap mereka. Pelaksanaan program ‘Polis Angkat’ yang dijalankan oleh pihak sekolah yang menjadikan sekolah sebagai sekolah angkat untuk dipantau dan diberikan ceramah juga akan lebih mendisiplinkan para pelajar. Undang-undang inilah yang akan menjadikan hidup kita lebih sistematik dan aman. Penulis novel Indonesia yang mahsyur, Habiburrahman El Shirazy atau lebih mesra digelar Kang Abik pernah mengatakan bahawa undang-undang yang dapat dilihat secara izhar di jalan raya ialah lampu isyarat. Jika tiada lampu isyarat, bagaimanakah kereta-kereta mahu bergerak tanpa menabrak kenderaan lain? Pernyataan ini menjelaskan bahawa undang-undang sudah sebati dalam diri masyarakat dan sangat penting untuk mengekalkan kehidupan yang aman sentosa. Sesungguhnya, pelaksanaan undang-undang yang ketat di sekolah akan menjadikan murid-murid patuh akan peraturan dan menjauhi gejala vandalisme.

   Dalam nada yang lain, murid-murid yang didapati terlibat dalam kegiatan vandalisme perlulah dihantar kepada kaunselor di sekolah dengan segera. Mereka perlulah dinasihati oleh kaunselor agar insaf dan kapok daripada mengulangi kesalahan yang sama. Tindakan ini adalah sangat vital kerana jika mereka dibebaskan dengan mudah, dikhawatirkan mereka akan mempengaruhi rakan-rakan sebaya mereka kerana sikap remaja adalah bagaikan air di daun keladi yang tidak tetap pendiriannya dan sangat mudah dipengaruhi. Pengaruh dan hasutan rakan sebaya ialah alasan dominan gejala vandalisme menular merosakkan nilai murni seseorang insan. Pihak kaunselor perlulah mengambil inisiatif dalam melakukan pendekatan terhadap sanubari murid-murid untuk mengesan pangkal utama kelakuan mereka kerana setiap yang berlaku pasti ada sebabnya seperti kata peribahasa kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang? Murid-murid yang visi dan misinya masih kabur-kabur perlulah dibimbing ke jalan yang lurus agar mereka membesar menjadi dewasa yang berguna dan bermoral pada masa hadapan dan tidak hidup seakan-akan kerakap tumbuh di batu, hidup segan, mati tak mahu. Jika mereka mempunyai masalah dalaman yang mendorong mereka kepada gejala vandalisme, mereka boleh menceritakan masalah tersebut di samping mendapatkan bimbingan dan sokongan kaunselor kerana kaunselor akan menyimpan setiap rahsia yang diceritakan. Ringkasnya, bimbingan kaunseling dapat menangani gejala vandalisme secara dalaman kerana dapat memberikan panduan yang sebenar kepada murid-murid.

   Menyingkap daripada perspektif yang lain pula, ibu bapa perlulah memainkan peranannya sebagai pembentuk insan yang bermula dari rumah.  Sudah menjadi kebiasaan bagi ibu bapa untuk keluar rumah pada awal pagi sebelum terbitnya fajar untuk bekerja dan pulang larut malam sehingga tiada masa pun yang tersisa untuk meluangkan masa bersama anak-anak akibat lelah bekerja. Natijahnya, anak-anak semakin bebas bersosial dan bergaul dengan anasir-anasir buruk yang merosakkan jati diri seseorang insan dan mendorong mereka untuk melakukan kegiatan vandalisme. Betullah kata-kata orang tua yang berbunyi kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Nilai-nilai materialistik dan kebendaan mengaburi pandangan dan hati ibu bapa untuk lebih memerhatikan anak-anaknya. Ibu bapa perlulah mengikis sikap bena tak bena terhadap kebajikan anak-anak dari segi fizikal dan rohani kerana sikap inilah yang menarik anak-anak untuk terlibat dalam kancah gejala vandalisme yang hanya menyusahkan masyarakat kita. Dalam Islam, anak-anak adalah bagaikan selembar kain putih yang kudus dan nirmala. Ibu bapalah yang memikul obligasi untuk mencorakkannya dengan sikap-sikap mahmudah. Keperibadian anak-anak bermula dari rumah dan anak-anak bagaikan cermin perilaku ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlulah menunjukkan khudwah hasanah seperti tidak melepaskan api kemarahan mereka dalam bentuk menyepak dan merosakkan perabot-perabot di rumah kerana anak-anak yang menyaksikan perlakuan tersebut akan melakukan perkara yang sama di sekolah. Ibu bapa perlulah celik dalam membesarkan anak-anak dengan suri teladan dan keperibadian mulia agar anak-anak menjadi anak yang soleh di rumah dan murid yang gemilang di sekolah. Jelaslah bahawa ibu bapa wajib memberikan tarbiah bermoral tentang perilaku songsang budaya vandalisme di sekolah kepada anak-anak dan memberikan menyayangi mereka bagai menatang minyak yang penuh kerana bagaiman acuannya, begitulah kuihnya.

       Akhirulkalam, gejala vandalisme ini dapat dibejat melalui peranan media sosial dan media massa. Dengan perkembangan teknologi yang amat pesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, hampir setiap murid memilik gajet-gajet yang membolehkan mereka untuk mengakses internet. Sudah tentu mereka juga memiliki laman sosial masing-masing untuk berkomunikasi dengan dunia luar yang amat luas. Oleh itu, murid-murid dapat diberi kesedaran betapa buruknya gejala vandalisme yang berlaku di sekolah melalui artikel-artikel dan penulisan di laman-laman sosial seperti ‘Whatsapp’ , ‘Facebook’, ‘Tumblr’, dan ‘Instagram’. Remaja kontemporari ini lebih cenderung untuk menerima nasihat melalui media sosial berbanding di dunia nyata kerana mereka akan membaca artikel-artikel nasihat mengenai gejala vandalisme dengan kudrat dan keinginan sendiri secara sengaja ataupun tidak sengaja. Justeru,usaha menyebarkan keburukan gejala vandalisme melalui media sosial tidak akan menjadi seperti peribahasa mencurah air ke daun keladi.  Pihak stesen televisyen dan akhbar juga perlu lebih kerap menyiarkan berita-berita yang akan membuka mata dan hati murid-murid untuk menyayangi dan menghargai harta benda sekolah, bukannya menyiarkan budaya-budaya kuning dari Barat yang hanya akan mendorong remaja terpengaruh oleh budaya hedonisme. Tuntasnya, media sosial dan media massa menjadi wahana primer bagi menyedarkan murid-murid untuk sentiasa menjaga harta benda sekolah sebagaimana mereka menyayangi diri mereka.

      Berdasarkan huraian-huraian tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani gejala vandalisme yang telah dikupas , ternyatalah bahawa semua pihak perlulah memainkan prakarsa masing-masing dalam memandu murid-murid jauh daripada anasir-anasir buruk vandalisme ini yang hanya akan mencemarkan kewibawaan generasi muda.  Semua pihak perlulah berganding bahu dalam mencegah gejala vandalisme yang tidak bermoral ini daripada  menular menghancurkan nilai murni murid-murid yang bakal menjadi pelapis negara kita kelak. Janganlah kita menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Amalan hanya menjaga tepi kain sendiri dan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain hanya akan membawa kepada keruntuhan sistem masyarakat kita. Masalah gejala vandalisme ini tidak boleh dianggap enteng dan dipandang sebelah mata kerana remaja sekaranglah yang mencerminkan masa depan sesebuah negara.  Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa akhlak yang buruk membinasakan diri sebagaimana cuka merosakkan madu. Walaupun isu ini tidak begitu signifikan pada mata masyarakat, namun perkara ini akan memberikan impak yang besar kepada negara kita. Sekiranya infrastruktur sekolah di negara kita banyak yang rosak, tidak dapat digunakan, dan  diconteng dengan gambar dan perkataan aneh, maka di manakah kita akan meletakkan air muka kita terhadap para pelancong yang berkunjung ke sekolah-sekolah di negara kita? Marilah kita mengerah keringat serta bersama-sama memulakan sederap langkah mengubah sikap yang buruk ini kerana Lao Tzu, ahli falsafah Cina yang terkenal pernah mengatakan bahawa perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah. Satu langkah pertama tersebutlah yang akan menjadi genesis metamorfosis yang dapat membimbing murid-murid agar menjauhi gejala vandalisme dan terselamat daripada jatuh terjerumus ke dalam kancah kemusnahan akhlak mulia. Sebagai kesimpulannya, murid-murid merupakan obligasi mandatori kita kerana mereka ialah bakal pemimpin negara dan merupakan aset vital negara yang akan mencorakkan masyarakat pada masa hadapan.


(1539 patah perkataan)

-          Heybara 

 Image result for studyblr tumblr

Inspirasi


Wrote this essays for hours T.T Trying hard to write the essay magnificently using bombastic words that I googled, and these are the results. Hope this will help you for your homework/exam :3 My essay is like rojak campur so , please pardon the messiness and all blunders I made >.< 
Post Comment
Post a Comment

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature