Top Social

KARANGAN SPM BAHAGIAN A - Punca Masalah Pencemaran Alam Sekitar Berlaku di Negara Kita dan Cara Mengatasinya

8 Mar 2020
DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru kami sepanjang bergelar  murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Kami menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!




Punca Masalah Pencemaran Alam Sekitar Berlaku di Negara Kita dan Cara Mengatasinya



       Dalam kerancakan manusia mengejar kemajuan alaf milenium kini, nilai-nilai material semakin membekas dalam masyarakat madani sehingga menyongsong kewarasan akal dan kemurnian nilai-nilai integriti. Kemajuan yang berorientasikan keuntungan semata-mata seakan-akan mengikis sehingga tandusnya pertimbangan manusia terhadap alam sekitar yang menjadi warisan yang tidak ternilai harganya kepada anak watan penggerak masa hadapan. Sedar tidak sedar, alam sekitar yang dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia yang bersultan di mata beraja di hati. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan sebanyak 3.3 juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Bilangan tersebut tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan oleh kemalangan kenderaan. Di Malaysia, kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran masih berlaku secara berleluasa. Atas faktor apakah yang menyebabkan berlakunya masalah pencemaran ini? Siapakah dalang yang terlibat dalam kemelut yang semakin pincang ini? Kupasan teliti akan dihuraikan bagi menjawab segala persoalan ini.


   Masalah pencemaran alam sekitar ini dikenal pasti berpunca daripada tangan-tangan kotor individu yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Hal ini terjadi kerana tiada kesedaran sivik dalam diri mereka dan mereka sering memandang enteng tentang isu alam sekitar yang kini menjadi hidangan wajib dalam berita-berita yang dipaparkan dalam media massa arus perdana. Bagi sesetengah individu, mereka akan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran. Walhal, jika direnungkan andai ada seratus orang individu yang bersikap sedemikian sudah semestinya alam sekitar akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Sikap nafsi individu-individu ini semakin memburukkan fenomena alam sekitar. Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah ke dalam sungai dan longkang telah menyebabkan berlakunya pencemaran air sedangkan air merupakan medium utama dalam melestarikan kelangsungan hidup. Ada juga antara individu yang membuang puntung-puntung rokok dan melakukan pembakaran secara terbuka sehingga menyebabkan kebakaran yang serius lantas menyebabkan pencemaran udara. Kempen berkongsi kereta yang diwara-warakan pronya dalam aspek kesesakan jalan raya dan kontranya dalam aspek pencemaran udara juga tidak mendapat sambutan hangat daripada pengguna jalan raya, ibarat mencurah air ke daun keladi. Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti kereta, lori, bas, dan motosikal secara berlebihan akibat kedegilan sikap individu yang menjadi pengguna jalan raya telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini.


      Selain individu, organisasi seperti pemilik kilang juga turut menjadi agen penyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar. Terdapat kilang-kilang yang menjalankan operasi pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam pengeluaran mereka dan pada kebiasaannya kilang-kilang tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut dan sungai yang berdekatan dengan kawasan tersebut. Kebiasaan yang melanggar lumrah alam ini sudah pasti akan mengakibatkan pencemaran air. Ekosistem hidupan akuatik pasti terjejas akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak ini. Dalam pada itu, terdapat juga kilang-kilang yang melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis udara seterusnya menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Walaupun sudah acap kali didenda, namun masih ada pemilik kilang yang dihentak tak masuk, diumpil tak bergerak. Ada juga segelintir pemilik premis-premis kilang tersebut yang mengelakkan diri daripada memberi penjelasan dan menyelesaikan masalah yang dicipta oleh mereka tidak ubah seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sama sekali tidak dapat menyelesaikan kemelut yang semakin meruncing ini. Kemelut ini jika dibiarkan sudah pasti akan memberi dampak yang malang kepada kondisi udara dan air lantas menyebarkan pelbagai wabak penyakit yang akan menyerang kesihatan marhaen. Bagaimana mungkin kemelut ini terus meruncing tanpa adanya prakarsa yang pragmatik dan efisien daripada pihak-pihak yang terbabit  atau penantian ini hanya sekadar menantikan putih gagak hitam? Tepuk dada tanya selera.



Pepatah Melayu ada mengatakan “tiada penyakit yang tiada penawarnya”.  Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga.  Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting.  Mereka sebagai orang terdekat kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi.  Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan kepada anak-anak mereka.  Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara.  Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa.  Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar akan dapat diatasi sekaligus merekayasakan individu-individu yang mempunyai sikap perikemanusiaan yang tinggi. Jelaslah di sini bahawa, ibu bapa merupakan wahana utama dalam menuju ke sebuah negara yang sifar pencemaran  pada masa akan datang.



  Di samping itu, pencemaran alam sekitar boleh dibejat melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan sekaligus memberi pencerahan kepada rakyat akan kepentingan alam sekitar kepada manusia. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tidak ada istilah terlambat dalam mengubah sesuatu selagi ajal belum menjemput. Kempen yang dilaksanakan secara besar-besaran kepada semua peringkat umur  berupaya membua mata hati dan minda mereka yang buta dan lupa akan hakikat bahawa alam sekitar ini juga makhluk Tuhan seperti kita yang selayaknya untuk dijaga kebajikannya bukan untuk dimusnahkan sesuka hati dengan tangan ini. Hal ini sedikit sebanyak mampu menyeru jagatraya untuk tidak membuat onar terhadap alam sekitar secara semberono. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senntiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.



   Menggulung segala hujah yang telah saya perkatakan di atas, kebimbangan demi kebimbangan yang terhasil sebenarnya hadir daripada nafsi manusia yang angkuh dan menganggap diri mereka Tuhan sehingga melakukan pelbagai onar yang akhirnya natijahnya melantun kepada manusia semula. Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat manusia yang masih mempunyai hati nurani yang luhur untuk bangkit menentang pelaksanaan-pelaksanaan yang membolehkan alam sekitar menerima impak negatif yang cukup membinasakan. Kita mestilah menghentikan langkah yang menuntun kita ke arah kehancuran alam sekitar yang akhirnya menjemput kita untuk turut binasa. Pilihan di tangan kita.



Credits,Karangan nukilan pelajar cemerlang Bahasa Melayu, Intan Balqis Shahira (5 KAA 2019)


  Image result for bookstagram


Post Comment
Post a Comment

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature