Top Social

KARANGAN SPM BAHAGIAN A - Langkah-langkah Yang Perlu Diambil Bagi Menangani Gejala Vandalisme di Sekolah

8 Mar 2020


DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru kami sepanjang bergelar  murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Kami menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!




Soalan : Gejala vandalisme semakin berleluasa di sekolah-sekolah sehingga menimbulkan kebimbangan kepada pelbagai pihak. Tulis rencana tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani gejala vandalisme ini.



RENCANA TENTANG LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL BAGI MENANGANI GEJALA VANDALISME DI SEKOLAH



   Era digital ini, kepentingan melahirkan generasi muda yang cemerlang untuk masa hadapan negara semakin meningkat. Malangnya, gejala sosial dalam kalangan pelajar yang kian meruncing membimbangkan semua pihak. Menurut kajian Kementerian Pelajaran Malaysia, salah satu daripada lapan gejala salah laku pelajar yang semakin menjadi-jadi kini ialah masalah vandalisme. Aktiviti vandalisme, atau kegiatan merosakkan harta benda awam bukan sahaja merugikan pelbagai pihak, malah turut menjejaskan imej negara kita. Suatu ketika dahulu andai kita menelusuri sejarah, angka kerosakan yang berlaku disebabkan vandalisme adalah lebih kecil berbanding kini. Perbezaan antara dahulu dan kini diibaratkan sebagai langit dan bumi. Aktiviti-aktiviti vandalisme seolah-olah merupakan suatu perkara yang mudah semudah menyua kek ke dalam mulut. Setiap kerosakan yang dilakukan di atas muka bumi berpunca daripada manusia sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Tin Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya. Ayat ini menerangkan bahawa manusia itu telah Tuhan ciptakan dengan sebaik-baik keadaan. Namun, mengapa kita memilih untuk merendahkan martabat kita?  Oleh itu, langkah-langkah untuk mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan manusia khususnya  pelajar perlu dilaksanakan dengan segera. Persoalannya, apakah cara-cara yang perlu diambil bagi menangani gejala vandalisme ini?

    Pertama sekali, ibu bapa harus menjalankan peranan penting dalam menyifarkan masalah vandalisme. Ibu bapa merupakan satu lantai yang cukup ampuh dalam membentuk diri anak-anak sama ada berhaluan kanan mahupun berhaluan kiri kerana anak-anak ini diibaratkan sebagai kain putih yang tiada padanya cacat atau noda dan ibu bapalah menjadi tukang corak yang bakal mencorak dan mewarnakan mereka dengan warna-warna kehidupan selaras dengan didikan yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak tersebut. Mereka perlu memantau kegiatan anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke dalam kancah yang negatif. Bukan itu sahaja, malah pergaulan anak-anak juga patut diawasi agar tidak melakukan kesilapan dalam memilih rakan. Lebih-lebih lagi, ibu bapa harus menyemai ilmu ke dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana sesungguhnya, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana ilmu berkaitan dengan kehidupan  mampu menjadi benteng utama dalam menghalang generasi muda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir negatif seperti kegiatan vandalisme. Ilmu agama merupakan satu wahana yang kelihatan kuno namun masih relevan sehingga kini. Hal ini kerana, kehidupan homosapien tidak akan pernah terlepas daripada fitrah beragama yang membataskan fiil manusia daripada melakukan perkara yang membinasakan Jika ibu bapa melaksanakan peranan mereka dengan sempurna, pasti masalah vandalisme dapat diatasi dengan mudah.

 

  Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan tanggungjawab mereka demi menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Jagatraya merupakan mata-mata pihak sekolah dalam memantau para pelajar di luar sekolah sekiranya mereka melakukan perbuatan di luar tabii seperti vandalisme. Maka, butir bicara daripada masyarakat sangat penting dalam membuka pintu kepada pihak sekolah untuk mengambil langkah sederap ke atas pelajar yang telah melakukan kesalahan. Sebagai seorang ahli masyarakat, kita harus peka terhadap situasi di sekeliling kita dan melaporkan apa yang patut mengikut saluran yang betul. Tugas masyarakat adalah untuk mentarbiah bukan untuk menghukum. Contohnya, jika terlihat perlakuan vandalisme, kita patut melaporkannya kepada pihak berkuasa bukannya mengutuk dan menghina mereka seolah mereka tiada hak untuk hidup di atas muka bumi sebagai seorang manusia. Pendek kata, kita tidak patut bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Maka, sekiranya masyarakat bersikap proaktif, pasti kegiatan vandalisme mampu dikurangkan.

     Seterusnya, pihak berkuasa turut mempunyai peranan yang penting dalam mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Hakikatnya, undang-undang kini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana tidak mampu menunjukkan impak yang signifikan dalam menangani gejala negatif dalam kalangan pelajar. Menyedari realiti ini, pihak berkuasa perlulah menggubal undang-undang supaya hukuman yang lebih berat dijatuhkan terhadap si pelaku vandalisme. Pada masa yang sama, pihak polis harus menjalankan pemantauan yang lebih kerap dan ketat di kawasan yang berpotensi tinggi berlakunya kegiatan vandalisme. Jika langkah-langkah ini dilaksanakan dengan segera, sudah tentu masalah vandalisme boleh disifarkan dalam kalangan pelajar.

     Di samping itu, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap pelajar. Mereka harus mendenda pelajar yang melakukan vandalisme di dalam kawasan sekolah. Misalnya, pelajar yang terlibat dengan vandalisme perlu dirotan atau dikenakan hukuman gantung sekolah. Tindakan ini dapat menginsafkan pelajar yang terlibat dan mampu menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang lain. Pihak sekolah juga harus mengenepikan sikap pilih kasih semasa mengenakan tindakan terhadap pelajar yang terlibat dengan vandalisme. Langkah ini bukan sahaja mampu menangani masalah vandalisme, tetapi turut dapat mengurangkan masalah-masalah disiplin yang lain.


Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya ibu bapa, masyarakat, pihak kerajaan dan pihak sekolah harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi mengurangkan gejala yang semakin serius ini. Jika hasrat tersebut berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan penyelesaian masalah ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.


Credits, Karangan nukilan pelajar cemerlang SPM Bahasa Melayu, Intan Balqis Shahira (5 KAA 2019)


Image result for bookstagram
(picts courtesy of google, credit to the rightful owner)

Post Comment
Post a Comment

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature