Top Social

KARANGAN SPM BAHAGIAN A - Cara Remaja Menjaga Nama Baik Diri Sendiri

8 Mar 2020


DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru kami sepanjang bergelar  murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Kami menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!



CARA-CARA REMAJA MENJAGA NAMA BAIK DIRI SENDIRI

           Yang paling sukar bagi manusia adalah untuk mengenal dirinya sendiri,” begitulah kalimah yang terpacul dari bibir Thales, seorang ahli Matematik dan astronomi yang berasal dari Greek ini. Oleh hal yang demikian, ramai insan yang memandang enteng dalam menjaga nama baik diri dari terus dicemari walhal sudah menjadi satu tanggungjawab untuk kita mendakap erat maruah yang tergendong di balik gahnya nama yang sedia ada.Dahulu, masyarakat sangat teliti dalam setiap tindakan supaya arang tidak terconteng pada muka sendiri hatta ibu bapa hasil daripada didikan yang tegas. Namun begitu, berbeza dengan realiti yang dihadapi oleh jagatraya kini khususnya remaja yang sangat terdedah dengan kepincangan akhlak yang jelas terpesong dari norma kehidupan manusia normal sedangkan personaliti tidak diukur daripada ketebalan solekan di wajah namun daripada ketinggian peribadi, jati diri dan kematangan intelektual dalam menghadapi realiti dunia kian mencengkam. Maka, sudah pasti anjakan paradigma perlu dilaksanakan dalam kalangan remaja untuk membentuk pewaris negara yang berkualiti pada masa hadapan. Oleh itu, persoalan saya apakah cara remaja untuk menjaga nama baik diri mereka sendiri?

      Pertama, remaja perlu menjaga penampilan diri tidak kira di mana jua mereka berada. Hal ini dikatakan demikian kerana kehidupan ini tidak akan pernah lari dari interaksi sosial antara satu sama lain. Maka, penting untuk kita meninggalkan persepsi pertama yang baik dalam minda manusia supaya kita tidak diklasifikasi sebagai sampah masyarakat. Ketrampilan sosial yang baik menyebabkan remaja menjadi lebih yakin untuk berhadapan dengan masyarakat. Sebagai contoh, kita mudah untuk menarik minat individu untuk mengenali kita dengan rapat hanya melalui penjagaan pemakaian yang baik berbanding kita hanya berhias secara sambalewa. Reaksi spontan seumpama ini sangat bertepatan dengan fitrah manusia yang sangat suka melihat kepada kecantikan malah perkara ini mampu membejat orang lain daripada mereka fitnah terhadap diri kita dan keluarga. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa penampilan diri yang kemas dan menarik menjadi perisai yang menutup mulut-mulut jahat daripada terus memburukkan diri kita.

   Selain itu, tutur kata yang baik perlu dilestarikan dalam diri remaja sebaiknya. Lebih-lebih lagi apabila kita berbicara dengan rakan, guru juga ibu bapa. Lidah yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap manusia di atas muka bumi ini sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tamsilnya, Nabi Muhammad SAW sentiasa mengeluarkan bait-bait kata yang penuh hikmah dan memberi pengajaran kepada umat. Jarang sekali kita dengar perkara yang sia-sia terbit dari bibir kekasih Allah ini yang mampu menyakitkan hati insan yang lain. Tindakan ini sangat bertepatan dengan hadis baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang berbunyi, sesiapa yang beriman kepada Allah, maka hendaklah mereka berkata yang baik atau diam. Hal ini membolehkan pintu kemuliaan terbuka luas buat dirinya tidak kira dalam komuniti yang kecil hatta komuniti yang besar. Kesannya, jagatraya akan menerima kehadiran kita dalam ruang lingkup mereka dengan hati yang terbuka sekaligus nama baik diri kita,keluarga kita dan yang paling penting agama kita akan terpelihara kesuciannya. Oleh hal yang sedemikian, terpancarlah di sini bahawa remaja yang menuturkan bahasa yang sopan berupaya menjadi asbab mereka dapat menjaga maruah nama mereka apabila mereka menapak di jalan realiti yang penuh onak duri.

      Akhir sekali, menjaga batas pergaulan antara ikhwah dan akhawat juga merupakan perkara penting yang perlu diambil berat oleh remaja di dalam usaha memastikan nama baik diri sendiri berada dalam lingkungan yang baik. Sangat bertepatan dengan gaya hidup yang diajarkan oleh Islam iaitu tidak berlebih-lebihan dalam bergaul. Syariat telah memberi panduan kepada para remaja dalam perkara yang melibatkan pergaulan ini antaranya menjaga pandangan, memakai pakaian yang menutup aurat, berakhlak sopan tidak kira muslim atau Muslimah dan sebagainya. Mengapa batas ini perlu dijaga sebenarnya? Lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengelakkan dari berlakunya perihal yang boleh mendatangkan fitnah dan umpatan manusia ke atas diri remaja itu sendiri. Rentetan itu, kehormatan diri dapat dijaga dan iman di hati dapat dikukuhkan dari masa ke masa dengan sebaiknya. Oleh itu, zahirlah bahawa batas pergaulan yang memenuhi syariat membantu remaja menjaga jenama diri mereka daripada dihina oleh masyarakat luar yang pantang melihat kesalahan manusia lain.

  Menggulung segala isi yang saya huraikan tadi, menjaga nama baik diri sendiri khususnya dalam kalangan remaja tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana hasil daripada ketelitian kita menjaga setiap satu daripadanya akan membuahkan hasil yang sangat menyentuh hati kelak. Saya mengharapkan agar semua pihak berganding bahu dan tidak bersifat mementingkan diri sendiri untuk merealisasikan perkara murni seumpama ini dalam kalangan masyarakat muda kini. Saya mencadangkan agar sikap-sikap ini terus ditularkan di pelbagai media massa yang mampu sampai terus ke dalam kalbu remaja kini agar kembali mencari diri mereka sendiri sekaligus merekayasakan pelapis wazir negara yang berkaliber, holistic dan bijaksana. Kesimpulannya, remaja mestilah mengaplikasikan sikap mahmudah ini di dalam kehidupan seharian agar perkara ini tidak akan pudar warnanya ditelan zaman. Pendayung sudah di tangan, perahu sudah di air, tinggal kita yang perlu memilih untuk bergerak atau statik di satu tempat sahaja sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. Anda mampu mengubahnya.


Credit;
Karangan nukilan pelajar cemerlang Bahasa Melayu Intan Balqis Shahira (5 KAA 2019)




Image result for bookstagram
( pict courtesy from google, credit to the rightful owner)
Post Comment
Post a Comment

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature