Top Social

KARANGAN SPM BAHAGIAN A - Langkah-langkah Yang Perlu Diambil Bagi Menangani Gejala Vandalisme di Sekolah

8 Mar 2020


DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru kami sepanjang bergelar  murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Kami menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!




Soalan : Gejala vandalisme semakin berleluasa di sekolah-sekolah sehingga menimbulkan kebimbangan kepada pelbagai pihak. Tulis rencana tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani gejala vandalisme ini.



RENCANA TENTANG LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL BAGI MENANGANI GEJALA VANDALISME DI SEKOLAH



   Era digital ini, kepentingan melahirkan generasi muda yang cemerlang untuk masa hadapan negara semakin meningkat. Malangnya, gejala sosial dalam kalangan pelajar yang kian meruncing membimbangkan semua pihak. Menurut kajian Kementerian Pelajaran Malaysia, salah satu daripada lapan gejala salah laku pelajar yang semakin menjadi-jadi kini ialah masalah vandalisme. Aktiviti vandalisme, atau kegiatan merosakkan harta benda awam bukan sahaja merugikan pelbagai pihak, malah turut menjejaskan imej negara kita. Suatu ketika dahulu andai kita menelusuri sejarah, angka kerosakan yang berlaku disebabkan vandalisme adalah lebih kecil berbanding kini. Perbezaan antara dahulu dan kini diibaratkan sebagai langit dan bumi. Aktiviti-aktiviti vandalisme seolah-olah merupakan suatu perkara yang mudah semudah menyua kek ke dalam mulut. Setiap kerosakan yang dilakukan di atas muka bumi berpunca daripada manusia sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Tin Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya. Ayat ini menerangkan bahawa manusia itu telah Tuhan ciptakan dengan sebaik-baik keadaan. Namun, mengapa kita memilih untuk merendahkan martabat kita?  Oleh itu, langkah-langkah untuk mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan manusia khususnya  pelajar perlu dilaksanakan dengan segera. Persoalannya, apakah cara-cara yang perlu diambil bagi menangani gejala vandalisme ini?

    Pertama sekali, ibu bapa harus menjalankan peranan penting dalam menyifarkan masalah vandalisme. Ibu bapa merupakan satu lantai yang cukup ampuh dalam membentuk diri anak-anak sama ada berhaluan kanan mahupun berhaluan kiri kerana anak-anak ini diibaratkan sebagai kain putih yang tiada padanya cacat atau noda dan ibu bapalah menjadi tukang corak yang bakal mencorak dan mewarnakan mereka dengan warna-warna kehidupan selaras dengan didikan yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak tersebut. Mereka perlu memantau kegiatan anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke dalam kancah yang negatif. Bukan itu sahaja, malah pergaulan anak-anak juga patut diawasi agar tidak melakukan kesilapan dalam memilih rakan. Lebih-lebih lagi, ibu bapa harus menyemai ilmu ke dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana sesungguhnya, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana ilmu berkaitan dengan kehidupan  mampu menjadi benteng utama dalam menghalang generasi muda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir negatif seperti kegiatan vandalisme. Ilmu agama merupakan satu wahana yang kelihatan kuno namun masih relevan sehingga kini. Hal ini kerana, kehidupan homosapien tidak akan pernah terlepas daripada fitrah beragama yang membataskan fiil manusia daripada melakukan perkara yang membinasakan Jika ibu bapa melaksanakan peranan mereka dengan sempurna, pasti masalah vandalisme dapat diatasi dengan mudah.

 

  Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan tanggungjawab mereka demi menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Jagatraya merupakan mata-mata pihak sekolah dalam memantau para pelajar di luar sekolah sekiranya mereka melakukan perbuatan di luar tabii seperti vandalisme. Maka, butir bicara daripada masyarakat sangat penting dalam membuka pintu kepada pihak sekolah untuk mengambil langkah sederap ke atas pelajar yang telah melakukan kesalahan. Sebagai seorang ahli masyarakat, kita harus peka terhadap situasi di sekeliling kita dan melaporkan apa yang patut mengikut saluran yang betul. Tugas masyarakat adalah untuk mentarbiah bukan untuk menghukum. Contohnya, jika terlihat perlakuan vandalisme, kita patut melaporkannya kepada pihak berkuasa bukannya mengutuk dan menghina mereka seolah mereka tiada hak untuk hidup di atas muka bumi sebagai seorang manusia. Pendek kata, kita tidak patut bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Maka, sekiranya masyarakat bersikap proaktif, pasti kegiatan vandalisme mampu dikurangkan.

     Seterusnya, pihak berkuasa turut mempunyai peranan yang penting dalam mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Hakikatnya, undang-undang kini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana tidak mampu menunjukkan impak yang signifikan dalam menangani gejala negatif dalam kalangan pelajar. Menyedari realiti ini, pihak berkuasa perlulah menggubal undang-undang supaya hukuman yang lebih berat dijatuhkan terhadap si pelaku vandalisme. Pada masa yang sama, pihak polis harus menjalankan pemantauan yang lebih kerap dan ketat di kawasan yang berpotensi tinggi berlakunya kegiatan vandalisme. Jika langkah-langkah ini dilaksanakan dengan segera, sudah tentu masalah vandalisme boleh disifarkan dalam kalangan pelajar.

     Di samping itu, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap pelajar. Mereka harus mendenda pelajar yang melakukan vandalisme di dalam kawasan sekolah. Misalnya, pelajar yang terlibat dengan vandalisme perlu dirotan atau dikenakan hukuman gantung sekolah. Tindakan ini dapat menginsafkan pelajar yang terlibat dan mampu menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang lain. Pihak sekolah juga harus mengenepikan sikap pilih kasih semasa mengenakan tindakan terhadap pelajar yang terlibat dengan vandalisme. Langkah ini bukan sahaja mampu menangani masalah vandalisme, tetapi turut dapat mengurangkan masalah-masalah disiplin yang lain.


Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya ibu bapa, masyarakat, pihak kerajaan dan pihak sekolah harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi mengurangkan gejala yang semakin serius ini. Jika hasrat tersebut berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan penyelesaian masalah ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.


Credits, Karangan nukilan pelajar cemerlang SPM Bahasa Melayu, Intan Balqis Shahira (5 KAA 2019)


Image result for bookstagram
(picts courtesy of google, credit to the rightful owner)

KARANGAN SPM BAHAGIAN A - Punca Masalah Pencemaran Alam Sekitar Berlaku di Negara Kita dan Cara Mengatasinya

DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru kami sepanjang bergelar  murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Kami menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!




Punca Masalah Pencemaran Alam Sekitar Berlaku di Negara Kita dan Cara Mengatasinya



       Dalam kerancakan manusia mengejar kemajuan alaf milenium kini, nilai-nilai material semakin membekas dalam masyarakat madani sehingga menyongsong kewarasan akal dan kemurnian nilai-nilai integriti. Kemajuan yang berorientasikan keuntungan semata-mata seakan-akan mengikis sehingga tandusnya pertimbangan manusia terhadap alam sekitar yang menjadi warisan yang tidak ternilai harganya kepada anak watan penggerak masa hadapan. Sedar tidak sedar, alam sekitar yang dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia yang bersultan di mata beraja di hati. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan sebanyak 3.3 juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Bilangan tersebut tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan oleh kemalangan kenderaan. Di Malaysia, kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran masih berlaku secara berleluasa. Atas faktor apakah yang menyebabkan berlakunya masalah pencemaran ini? Siapakah dalang yang terlibat dalam kemelut yang semakin pincang ini? Kupasan teliti akan dihuraikan bagi menjawab segala persoalan ini.


   Masalah pencemaran alam sekitar ini dikenal pasti berpunca daripada tangan-tangan kotor individu yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Hal ini terjadi kerana tiada kesedaran sivik dalam diri mereka dan mereka sering memandang enteng tentang isu alam sekitar yang kini menjadi hidangan wajib dalam berita-berita yang dipaparkan dalam media massa arus perdana. Bagi sesetengah individu, mereka akan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran. Walhal, jika direnungkan andai ada seratus orang individu yang bersikap sedemikian sudah semestinya alam sekitar akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Sikap nafsi individu-individu ini semakin memburukkan fenomena alam sekitar. Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah ke dalam sungai dan longkang telah menyebabkan berlakunya pencemaran air sedangkan air merupakan medium utama dalam melestarikan kelangsungan hidup. Ada juga antara individu yang membuang puntung-puntung rokok dan melakukan pembakaran secara terbuka sehingga menyebabkan kebakaran yang serius lantas menyebabkan pencemaran udara. Kempen berkongsi kereta yang diwara-warakan pronya dalam aspek kesesakan jalan raya dan kontranya dalam aspek pencemaran udara juga tidak mendapat sambutan hangat daripada pengguna jalan raya, ibarat mencurah air ke daun keladi. Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti kereta, lori, bas, dan motosikal secara berlebihan akibat kedegilan sikap individu yang menjadi pengguna jalan raya telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini.


      Selain individu, organisasi seperti pemilik kilang juga turut menjadi agen penyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar. Terdapat kilang-kilang yang menjalankan operasi pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam pengeluaran mereka dan pada kebiasaannya kilang-kilang tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut dan sungai yang berdekatan dengan kawasan tersebut. Kebiasaan yang melanggar lumrah alam ini sudah pasti akan mengakibatkan pencemaran air. Ekosistem hidupan akuatik pasti terjejas akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak ini. Dalam pada itu, terdapat juga kilang-kilang yang melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis udara seterusnya menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Walaupun sudah acap kali didenda, namun masih ada pemilik kilang yang dihentak tak masuk, diumpil tak bergerak. Ada juga segelintir pemilik premis-premis kilang tersebut yang mengelakkan diri daripada memberi penjelasan dan menyelesaikan masalah yang dicipta oleh mereka tidak ubah seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sama sekali tidak dapat menyelesaikan kemelut yang semakin meruncing ini. Kemelut ini jika dibiarkan sudah pasti akan memberi dampak yang malang kepada kondisi udara dan air lantas menyebarkan pelbagai wabak penyakit yang akan menyerang kesihatan marhaen. Bagaimana mungkin kemelut ini terus meruncing tanpa adanya prakarsa yang pragmatik dan efisien daripada pihak-pihak yang terbabit  atau penantian ini hanya sekadar menantikan putih gagak hitam? Tepuk dada tanya selera.



Pepatah Melayu ada mengatakan “tiada penyakit yang tiada penawarnya”.  Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga.  Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting.  Mereka sebagai orang terdekat kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi.  Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan kepada anak-anak mereka.  Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara.  Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa.  Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar akan dapat diatasi sekaligus merekayasakan individu-individu yang mempunyai sikap perikemanusiaan yang tinggi. Jelaslah di sini bahawa, ibu bapa merupakan wahana utama dalam menuju ke sebuah negara yang sifar pencemaran  pada masa akan datang.



  Di samping itu, pencemaran alam sekitar boleh dibejat melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan sekaligus memberi pencerahan kepada rakyat akan kepentingan alam sekitar kepada manusia. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tidak ada istilah terlambat dalam mengubah sesuatu selagi ajal belum menjemput. Kempen yang dilaksanakan secara besar-besaran kepada semua peringkat umur  berupaya membua mata hati dan minda mereka yang buta dan lupa akan hakikat bahawa alam sekitar ini juga makhluk Tuhan seperti kita yang selayaknya untuk dijaga kebajikannya bukan untuk dimusnahkan sesuka hati dengan tangan ini. Hal ini sedikit sebanyak mampu menyeru jagatraya untuk tidak membuat onar terhadap alam sekitar secara semberono. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senntiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.



   Menggulung segala hujah yang telah saya perkatakan di atas, kebimbangan demi kebimbangan yang terhasil sebenarnya hadir daripada nafsi manusia yang angkuh dan menganggap diri mereka Tuhan sehingga melakukan pelbagai onar yang akhirnya natijahnya melantun kepada manusia semula. Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat manusia yang masih mempunyai hati nurani yang luhur untuk bangkit menentang pelaksanaan-pelaksanaan yang membolehkan alam sekitar menerima impak negatif yang cukup membinasakan. Kita mestilah menghentikan langkah yang menuntun kita ke arah kehancuran alam sekitar yang akhirnya menjemput kita untuk turut binasa. Pilihan di tangan kita.



Credits,Karangan nukilan pelajar cemerlang Bahasa Melayu, Intan Balqis Shahira (5 KAA 2019)


  Image result for bookstagram


KARANGAN SPM BAHAGIAN A - Cara Remaja Menjaga Nama Baik Diri Sendiri



DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru kami sepanjang bergelar  murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Kami menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!



CARA-CARA REMAJA MENJAGA NAMA BAIK DIRI SENDIRI

           “ Yang paling sukar bagi manusia adalah untuk mengenal dirinya sendiri,” begitulah kalimah yang terpacul dari bibir Thales, seorang ahli Matematik dan astronomi yang berasal dari Greek ini. Oleh hal yang demikian, ramai insan yang memandang enteng dalam menjaga nama baik diri dari terus dicemari walhal sudah menjadi satu tanggungjawab untuk kita mendakap erat maruah yang tergendong di balik gahnya nama yang sedia ada.Dahulu, masyarakat sangat teliti dalam setiap tindakan supaya arang tidak terconteng pada muka sendiri hatta ibu bapa hasil daripada didikan yang tegas. Namun begitu, berbeza dengan realiti yang dihadapi oleh jagatraya kini khususnya remaja yang sangat terdedah dengan kepincangan akhlak yang jelas terpesong dari norma kehidupan manusia normal sedangkan personaliti tidak diukur daripada ketebalan solekan di wajah namun daripada ketinggian peribadi, jati diri dan kematangan intelektual dalam menghadapi realiti dunia kian mencengkam. Maka, sudah pasti anjakan paradigma perlu dilaksanakan dalam kalangan remaja untuk membentuk pewaris negara yang berkualiti pada masa hadapan. Oleh itu, persoalan saya apakah cara remaja untuk menjaga nama baik diri mereka sendiri?

      Pertama, remaja perlu menjaga penampilan diri tidak kira di mana jua mereka berada. Hal ini dikatakan demikian kerana kehidupan ini tidak akan pernah lari dari interaksi sosial antara satu sama lain. Maka, penting untuk kita meninggalkan persepsi pertama yang baik dalam minda manusia supaya kita tidak diklasifikasi sebagai sampah masyarakat. Ketrampilan sosial yang baik menyebabkan remaja menjadi lebih yakin untuk berhadapan dengan masyarakat. Sebagai contoh, kita mudah untuk menarik minat individu untuk mengenali kita dengan rapat hanya melalui penjagaan pemakaian yang baik berbanding kita hanya berhias secara sambalewa. Reaksi spontan seumpama ini sangat bertepatan dengan fitrah manusia yang sangat suka melihat kepada kecantikan malah perkara ini mampu membejat orang lain daripada mereka fitnah terhadap diri kita dan keluarga. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa penampilan diri yang kemas dan menarik menjadi perisai yang menutup mulut-mulut jahat daripada terus memburukkan diri kita.

   Selain itu, tutur kata yang baik perlu dilestarikan dalam diri remaja sebaiknya. Lebih-lebih lagi apabila kita berbicara dengan rakan, guru juga ibu bapa. Lidah yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap manusia di atas muka bumi ini sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tamsilnya, Nabi Muhammad SAW sentiasa mengeluarkan bait-bait kata yang penuh hikmah dan memberi pengajaran kepada umat. Jarang sekali kita dengar perkara yang sia-sia terbit dari bibir kekasih Allah ini yang mampu menyakitkan hati insan yang lain. Tindakan ini sangat bertepatan dengan hadis baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang berbunyi, sesiapa yang beriman kepada Allah, maka hendaklah mereka berkata yang baik atau diam. Hal ini membolehkan pintu kemuliaan terbuka luas buat dirinya tidak kira dalam komuniti yang kecil hatta komuniti yang besar. Kesannya, jagatraya akan menerima kehadiran kita dalam ruang lingkup mereka dengan hati yang terbuka sekaligus nama baik diri kita,keluarga kita dan yang paling penting agama kita akan terpelihara kesuciannya. Oleh hal yang sedemikian, terpancarlah di sini bahawa remaja yang menuturkan bahasa yang sopan berupaya menjadi asbab mereka dapat menjaga maruah nama mereka apabila mereka menapak di jalan realiti yang penuh onak duri.

      Akhir sekali, menjaga batas pergaulan antara ikhwah dan akhawat juga merupakan perkara penting yang perlu diambil berat oleh remaja di dalam usaha memastikan nama baik diri sendiri berada dalam lingkungan yang baik. Sangat bertepatan dengan gaya hidup yang diajarkan oleh Islam iaitu tidak berlebih-lebihan dalam bergaul. Syariat telah memberi panduan kepada para remaja dalam perkara yang melibatkan pergaulan ini antaranya menjaga pandangan, memakai pakaian yang menutup aurat, berakhlak sopan tidak kira muslim atau Muslimah dan sebagainya. Mengapa batas ini perlu dijaga sebenarnya? Lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengelakkan dari berlakunya perihal yang boleh mendatangkan fitnah dan umpatan manusia ke atas diri remaja itu sendiri. Rentetan itu, kehormatan diri dapat dijaga dan iman di hati dapat dikukuhkan dari masa ke masa dengan sebaiknya. Oleh itu, zahirlah bahawa batas pergaulan yang memenuhi syariat membantu remaja menjaga jenama diri mereka daripada dihina oleh masyarakat luar yang pantang melihat kesalahan manusia lain.

  Menggulung segala isi yang saya huraikan tadi, menjaga nama baik diri sendiri khususnya dalam kalangan remaja tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana hasil daripada ketelitian kita menjaga setiap satu daripadanya akan membuahkan hasil yang sangat menyentuh hati kelak. Saya mengharapkan agar semua pihak berganding bahu dan tidak bersifat mementingkan diri sendiri untuk merealisasikan perkara murni seumpama ini dalam kalangan masyarakat muda kini. Saya mencadangkan agar sikap-sikap ini terus ditularkan di pelbagai media massa yang mampu sampai terus ke dalam kalbu remaja kini agar kembali mencari diri mereka sendiri sekaligus merekayasakan pelapis wazir negara yang berkaliber, holistic dan bijaksana. Kesimpulannya, remaja mestilah mengaplikasikan sikap mahmudah ini di dalam kehidupan seharian agar perkara ini tidak akan pudar warnanya ditelan zaman. Pendayung sudah di tangan, perahu sudah di air, tinggal kita yang perlu memilih untuk bergerak atau statik di satu tempat sahaja sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. Anda mampu mengubahnya.


Credit;
Karangan nukilan pelajar cemerlang Bahasa Melayu Intan Balqis Shahira (5 KAA 2019)




Image result for bookstagram
( pict courtesy from google, credit to the rightful owner)

KARANGAN SPM BAHAGIAN A - Ciri-ciri Remaja Berwawasan

 DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru kami sepanjang bergelar  murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Kami menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!


CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN


Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka enam puluh satu tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Bermula dengan sejarah, kita membangun. Bermula dengan sejarah, wujudlah negara Malaysia yang maju ini. Semangat sayang akan negara dapat menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini. Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan oleh negara.


Mempunyai kemahiran yang variasi merupakan salah satu tunjang utama dalam merekayasakan remaja berwawasan yang diidamkan. Tidak dapat dinafikan bahawa seluruh dunia mengalami revolusi industri di mana semuanya berduyun-duyun memajukan industri demi mengaut keuntungan yang lumayan. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam melakukan transformasi ini. Oleh itu, kemahiran menjadi suatu yang hangat dibicarakan di dalam meja-meja bulat. Tenaga yang cergas dan minda yang cerdas membantu remaja dalam mempelajari dan mengutuhkan kelebihan itu. Misalnya, bertukang, menjahit, mereka cipta dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan pelbagai produk-produk tempatan yang bertaraf antarabangsa dapat dieksport ke luar negara sekaligus melonjakkan nama negara Malaysia. Jelaslah bahawa, kemahiran yang pelbagai merupakan kriteria yang amat penting dalam diri remaja pelapis pemimpin negara.


  Akhir sekali, mempunyai ilmu dan tidak kedekut dalam berkongsi ilmu yang ada juga merupakan kualiti yang perlu ditampilkan secara zahir oleh setiap remaja Malaysia. Ilmu merupakan perkara asas di dalam kehidupan manusia yakni tanpa ilmu, kita akan terus tersesat di dunia yang penuh liku ini. Namun, sekiranya kamu sudah punya ilmu namun sangat lokek dalam menyebarkannya, menjadi satu kerugian buat diri para remaja kerana itu bukanlah satu sikap mahmudah yang patut menjadi tamsilan. Imam syafi’e ada berkata, ilmu itu seperti air. Jika ia tidak bergerak, menjadi mati lalu membusuk. Mengapa beliau berkata demikian? Kerana, ilmu jika dikongsikan tidak akan sesekali berkurang seperti susutnya harta apabila boros menggunakannya. Tetapi, sebaliknya yang terjadi apabila ilmu dikongsikan. Kesannya, remaja-remaja akan mula membuka mata hati dan minda perihal ilmu sekaligus cinta untuk menimbanya. Jelaslah di sini, punya ilmu dan berkongsi kepada yang lain merupakan satu sifat terpuji yang diajar di dalam Islam dalam melahirkan generasi yang berwibawa.


Berdasarkan idea-idea yang telah dikemukakan di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa untuk menjadi remaja yang berwawasan, kriteria-kriteria utama tersebut perlu diwujudkan di dalam nafsi remaja yang masih subur dan darahnya mendidih untuk melakukan pelbagai perkara. Sekiranya ciri-ciri ini dipupuk dengan baik di dalam diri, hal ini berupaya membantu negara dalam mengampuhkan lai kedudukannya dengan wujudnya pelapis negara yang berwawasan dan berkredibiliti tinggi. Saya berharap agar kesedaran ini tumbuh dengan cepat dalam kalangan remaja agar mereka tidak terus leka dan alpa dengan keindahan dunia yang fana ini. Pihak kerajaan juga diharapkan untuk tidak memandang sebelah mata dengan remaja yang kurang menunjukkan potensi kerana setiap yang berlaku sudah pasti ada permulaannya dan sebagai pihak atasan, menjadi kewajipan untuk memastikan mereka ini mendapat hak mereka yang sepatutnya. Sebagai kesimpulan, remaja yang berwawasan menjadi platform dalam melaksanakan satu anjakan paradigma bagi tanah air yang tercinta dalam semua perspektif lahiriah juga batiniah.



Credit; Karangan nukilan pelajar cemerlang Bahasa Melayu,  Intan Balqis Shahira (5 KAA 2019) <3



Image result for bookstagram
(pict courtesy from google)

KARANGAN SPM - Kebaikan Dan Keburukan Penggunaan Internet

11 Dec 2019
DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!





Isu : Penggunaan Internet
Kata kunci : Kebaikan dan keburukan
Subjek : Anda (remaja)
Tunjang : Penggunaan Internet dianggap sebagai satu gaya hidup para remaja pada abad ini



KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PENGGUNAAN INTERNET



   Saban hari, penggunaan internet semakin berleluasa dalam kehidupan manusia di seantero dunia terutamanya dalam kalangan remaja seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Internet menjadi wadah ataupun medium terpenting yang memungkinkan seseorang remaja mencari apa-apa sahaja maklumat serta berhubung dengan dunia luar kerana segala-galanya berada di hujung jari. Pada zaman dahulu ketika internet belum lagi tercipta, remaja hidup secara praktikal iaitu dengan menulis surat untuk dihantar kepada mereka yang jauh menggunakan perkhidmatan pos, berbelanja ke toko-toko untuk membeli sesuatu dan mengunjungi perpustakaan demi mendapatkan maklumat. Namun kini, penggunaan internet yang semakin berleluasa dalam hidup manusia terutamanya dalam kalangan remaja telah memudahkan urusan harian mereka kerana kini penggunaan internet telah menjadi gaya hidup para remaja pada abad ini. Remaja kontemporari tidak perlu lagi mencurahkan tenaga dan masa untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini di perpustakaan dan mereka dapat menyiapkan tugasan-tugasan mereka dengan mudah. Oleh itu, tidak hairanlah remaja merupakan pengguna internet paling dominan kerana mereka mempunyai banyak keperluan dalam penggunaan internet. John Landgraf, iaitu pengarah syarikat saluran televisyen FX pernah mengatakan bahawa teknologi informasi dan internet dengan pantasnya mengubah hampir setiap aspek kehidupan kita, sebahagian lagi menjadi lebih baik dan sebahagian lagi menjadi lebih buruk. Pernyataan beliau membuktikan bahawa waima terdapat pelbagai perdebatan tentang pro dan kontra dalam penggunaan internet, namun tiada sesiapapun yang boleh melarikan diri daripada ledakan teknologi maklumat yang cukup canggih itu. Oleh itu persoalannya, apakah kebaikan dan keburukan daripada penggunaan teknologi internet kepada saya sebagai seorang remaja?



   Salah satu kebaikan penggunaan internet kepada saya sebagai seorang remaja ialah saya dapat mengakses maklumat-maklumat cukup pantas hanya dengan satu klik sahaja pada laman carian Google. Maklumat carian bukan sahaja muncul dalam bentuk teks, tetapi juga dalam bentuk grafik, audio dan animasi. Maklumat-maklumat yang muncul dalam pelbagai bentuk telah banyak membantu saya untuk memahami sesuatu pelajaran yang memerlukan visual dan imaginasi seperti subjek Biologi dan Fizik. Di samping mendapatkan akses kepada maklumat-maklumat tanpa sempadan, saya juga dapat menjimatkan kos membeli buku dan masa emas saya yang terbuang untuk pergi ke perpustakaan. Hal ini bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air kerana saya tidak akan merasa terbeban untuk memperoleh maklumat-maklumat dengan cara yang mudah dan praktikal. Penggunaan internet telah sedikit sebanyak membantu saya dalam pembelajaran saya kerana melalui laman Youtube, saya boleh belajar daripada guru-guru yang baik hati untuk merakamkan video mereka mengajar agar dapat dimanfaatkan oleh murid-murid lain juga. Benarlah kata-kata Kent Conrad, ahli politik termasyhur di Amerika yang mengatakan bahawa akses computer dan internet telah menjadi kebutuhan bagi dasar pendidikan dalam masyarakat kita. Saya sebagai seorang remaja yang mendahagakan ilmu pengetahuan dapat menimba sebanyak mana ilmu-ilmu dalam pelbagai aspek hanya dengan berbekalkan telefon pintar dan jaringan internet. Kehadiran internet yang telah menjadi gaya hidup saya membolehkan saya untuk menjadi seorang yang penuh ilmu di dada dan tidak mudah terpedaya dengan fakta-fakta yang teleh diselewengkan kerana saya dapat mencari kebenaran dengan mudahnya melalui penggunaan internet. Tegasnya, kebaikan penggunaan internet kepada saya ialah saya dapat memanfaatkan jaringan internet untuk mengakses maklumat-maklumat dari sumber yang bervariasi dengan mudah untuk membantu saya dalam pembelajaran saya.



   Seterusnya, saya juga dapat menambah kenalan baru melalui penggunaan internet. Hal ini boleh dikatakan sedemikian kerana terdapat banyak laman sosial dan aplikasi sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Telegram yang membolehkan saya untuk berhubung dengan sesiapa sahaja waima mereka tinggal berjuta-juta batu dari saya. Saya dapat berinteraksi dengan dunia luar tanpa perlu mengeluarkan sepeser pun untuk terbang ke negara dan benua lain. Kami akan dapat saling bertukar pendapat mengenai pelbagai perkara yang diminati dengan mudah pada bila-bila masa sahaja tanpa sebarang halangan. Tamsilnya, saya dapat menghubungi kenalan atas talian saya yang berasal dari Jepun untuk bertanyakan norma kehidupan masyarakat Jepun kerana saya amat memandang tinggi budaya hidup marhaen negara matahari terbit. Saya juga telah dihubungi oleh beberapa insan luar negara yang ingin mengetahui Malaysia dari sudut perspektif masyarakat lokal melalui aplikasi sosial yang bernama Amino. Melalui interaksi bersama kenalan-kenalan saya yang terdiri daripada ras dan kewarganegaraan yang heterogen, saya dapat membuka minda saya dan meluaskan horizon pemikiran saya terhadap dunia kerana saya tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung yang tidak mengetahui gaya hidup masyarakat luar walaupun hanya tinggal statik di tanah air sendiri dan membesar dalam lingkungan komuniti yang sama kerana saya masih seorang remaja yang tinggal sebumbung dengan ibu bapa saya. Penggunaan internet telah membantu saya mencipta gaya hidup yang penuh dengan interaksi sosial dengan dunia luar yang membuatkan saya sofistikated untuk berkenal-kenalan dengan manusia seluruh dunia yang beragam-ragam. Sesungguhnya, penggunaan internet membolehkan saya menambah kenalan saya yang terdiri daripada insan-insan dengan latar belakang yang berbeda-beda tanpa perlu bermusafir ke negara-negara lain,



    Namun, di sebalik kemajuan teknologi internet yang membawa kepada banyak kemaslahatan kepada saya, sudah tentu terdapat banyak keburukan yang boleh menimpa saya jika saya tidak berhati-hati dalam menggunakan internet. Antara keburukan penggunaan internet ialah diri saya akan terlalai dengan menggunakan internet sepanjang masa tanpa menghiraukan masa. Penggunaan internet secara berlebihan akan mendorong seseorang ketagihan untuk menggunakan internet sepanjang masa terutamanya pada usia remaja. Masalah penggunaan internet secara berlebihan dalam kalangan remaja acap kali dikaitkan dengan kecanduan mereka untuk bermain permainan video dalam telefon pintar mereka seperti League of Legends, Mobile Legends dan Call of Duty. Kegilaan remaja terutamanya kaum adam untuk bermain permainan video semakin lama semakin parah kerana mereka sanggup menghabiskan wang jajan mereka untuk membeli peralatan-peralatan maya dalam permainan video tersebut. Bagi kaum hawa pula, selalunya mereka ketagihan untuk melayan media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook sehingga hilang kesedaran terhadap masa yang terbuang begitu sahaja. Kecanduan terhadap penggunaan internet membuatkan remaja cenderung untuk mengasingkan diri mereka dalam bilik mereka daripada dunia sebenar kerana mereka lebih selesa untuk berada di alam maya tanpa berinteraksi dengan manusia sebenar. Mereka menerapkan gaya hidup berasaskan penggunaan internet semata-mata sehingga menimbulkan sikap mementingkan diri sendiri dan kurang bergaul dengan orang lain. Fenomena ini paling izhar berlaku di Jepun sehingga terwujudlah satu istilah iaitu ‘Hikikomori’ yang ditujukan kepada sekelompok orang yang hanya mengurungkan diri dalam bilik mereka untuk menggunakan internet tanpa berinteraksi langsung dengan manusia sekeliling. Senario ini amat membimbangkan kerana seseorang itu akan hilang skil berkomunikasi dan tidak peka dengan perkembangan sekeliling akibat jarang berpijak pada bumi yang nyata. Perkara inilah yang paling saya mahu hindarkan kerana sebagai manusia yang fitrahnya adalah untuk berhubung sesame manusia, saya tidak mahu internet menjadi penyebab utama saya mensia-siakan waktu berharga untuk menelaah ilmu pengetahuan sehingga menjejaskan prestasi kecemerlangan saya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa keburukan penggunaan internet ialah boleh menyebabkan saya terlalai untuk menggunakannya sepanjang masa sehingga terputus dengan realiti kehidupan sebenar.



   Akhir sekali, penggunaan internet tanpa kawalan boleh menyebabkan saya terdedah kepada unsur-unsur kejahatan berlegar-legar dalam internet. Waima terdapat banyak informasi berilmiah dalam internet, namun terdapat juga perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilihat oleh orang ramai terutamanya remaja seperti video-video brutal dan pornografi. Bahan-bahan inilah yang boleh merosakkan dan meracuni akal fikiran remaja kerana pada dasarnya, remaja ialah insan yang masih dalam proses mengenali dunia dan tidak boleh membezakan yang mana permata dan kaca. Remaja juga terdedah terhadap budaya kuning yang benar-benar kontra dengan adat resam dan nilai murni orang Melayu yang mementingkan budi bahasa dan nilai pekerti setiap insan. Remaja-remaja akhirnya akan menerapkan unsur-unsur mazmumah yang diperoleh daripada internet dalam kehidupan mereka sehingga perkara mungkar ini menjadi gaya hidup para remaja pada abad ini. Maka tidak hairanlah ramai remaja yang berperikelakuan ganas serta terjerumus dengan gejala sosial seperti budaya berpelesiran di kaki-kaji jalan , menghisap rokok serta pergaulan bebas. Senario ini berlaku akibat pengaruh unsur-unsur mazmumah yang tersebar luas melalui internet persis virus epidemik. Keadaan ini amat membimbangkan kerana nilai murni dan budi pekerti akan sirna dan lenyap begitu sahaja daripada diri para remaja. Tuntasnya, saya akan terdedah dengan sisi gelap internet apabila menggunakannya tanpa kawalan dan had kerana internet membolehkan dunia tanpa sempadan baik bagi perkara baik ataupun buruk.



   Berdasarkan huraian-huraian diatas, terbuktilah bahawa penggunaan internet mempunyai kebaikan dan keburukannya sendiri terhadap saya sebagai remaja. Internet yang merupakan sebuah penciptaan teknologi tercanggih perlulah digunakan sesuai keperluan dan kemaslahatan agar tiada sesiapa pun yang akan mendapatkan keburukan daripada menggunakannya. Saya sebagai seorang remaja sewajarnya memaksimumkan penggunaan internet untuk perkara-perkara yang penting sahaja supaya saya tidak menyalahgunakan kemudahan internet. Oleh itu, saya menyeru remaja-remaja lain agar menjadi pengguna internet yang bijak. Semua remaja perlulah bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan tidak membiarkan diri mereka sendiri terjebak dalam kancah kemusnahan diri akibat menjadi mangsa kepada kemusnahan sosial dan akal melalui penggunaan internet yang tidak terkawal. Pengaruh internet telah sedikit sebanyak menjadi sebati dalam kehidupan saya dan remaja-remaja lain. Jika semua remaja menyalahgunakan kemudahan internet yang ada untuk melakukan perkara-perkara mungkar dan sia-sia, apakah yang akan terjadi terhadap masa depan anak bangsa kelak? Saidina Ali sendiri yang pernah mengataakn bahawa jika kita mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.    Janganlah kita menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam usaha mendisiplinkan diri sendiri dan remaja-remaja lain kerana pada akhirnya, konsekuensi penggunaan internet secara berlebihan yang menjadi gaya hidup para remaja pada hari ini bukan sahaja berdampak buruk kepada diri kita, namun juga kepada masyarakat dan negara. Oleh sebab itu, saya mestilah menjadi pengguna internet yang bijak dan berdisiplin serta memanfaatkan sepenuhnya penggunaan internet untuk menjadi seseorang yang lebih berilmu pengetahuan luas, berwawasan dan holistik dalam bidang teknologi, komunikasi dan juga akademik.




-          Hebatalla Kamaluddin , 5 KAA , 13 Oktober 2019, 1555 patah perkataan

Sumber:                                                




Image result for book coffee pinterest
(credit to the rightful owner @ pinterest)

KARANGAN SPM - Peranan Ibu Bapa Dalam Mengawal Pengambilan Makanan Segera dan Makanan Ringan Dalam Kalangan Anak-anak




DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini telah disemak dan diedit oleh cikgu saya. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!





Dominan :  makanan segera dan makanan ringan 
Kata Kunci : peranan
Sasaran/subjek : Ibu bapa
Tunjang : pengambilan,dalam, kalangan, anak-anak
Jenis : Rencana


PERANAN IBU BAPA DALAM MENGAWAL  PENGAMBILAN MAKANAN SEGERA DAN MAKANAN RINGAN
DALAM KALANGAN ANAK-ANAK
Oleh : Hebatalla Kamaluddin



(Ayat tema)Dasawarsa ini, pengambilan makanan segera dan makanan ringan dalam kalangan masyarakat semakin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan anak-anak.(Ayat huraian tema- where) Sudah menjadi kebiasaan bagi anak-anak untuk membeli makanan segera dan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan lebih dikenal sebagai  jajan di luar sekolah sebelum pulang ke rumah. (Ayat sejarah)Pada zaman dahulu, ibu bapa tidak perlu risau akan pola pemakanan anak-anak kerana rata-rata semua makanan pada ketika itu berasaskan hasil-hasil cucuk tanam yang murni tanpa bahan kimia seperti ubi kayu dan buah-buahan berbanding dengan makanan segera dan makanan ringan . (Ayat kini)Namun begitu, anak-anak metropolitan kini lebih gemar untuk mengkonsumsi snek-snek dan gula-gula yang manis dan berwarna-warni. (huraian ayat kini : how) Snek-snek yang merupakan kelas makanan ringan  ini dikomersialkan dalam bentuk pek yang berwarna-warni untuk menarik perhatian anak-anak kerana memang pada lumrahnya anak-anak tertarik oleh sesuatu yang berwarna kontras. (ayat kini :huraian what) Hal ini bertambah buruk lagi apabila ibu bapa mendedahkan anak-anak kepada makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken, Pizzahut dan McDonald sebagai alternatif kepada makanan berat yang mengandungi nutrien yang cukup untuk tubuh badan sihat. (ayat kini :huraian why) Keadaan ini tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa kerana disebalik rasa manis dan lazat makanan-makanan ringan dan makanan segera tersebut, terkandung gula, lemak, garam dan bahan kimia seperti pengawet makanan dalam kadar yang banyak. (ayat kini :huraian why)  Kandungan-kandungan inilah yang menjadi faktor dominan penyakit obesiti dan diabetes mellitus akibat kandungan gula yang tinggi dalam darah. (ayat tokoh)Tidak hairanlah jika Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam sempat melahirkan kekhawatirannya terhadap peningkatan kadar obesiti dalam kalangan anak-anak akibat gaya pemakanan masyarakat yang gemar mengambil makanan-makanan ringan dan makanan segera yang tidak seimbang dalam makanan seharian. (ayat pertanyaan)Persoalannya, apakah peranan ibu bapa sebagai insan yang paling hampir dengan anak-anak bagi mengawal pengambilan makanan segera dan makanan ringan dalam kalangan anak-anak supaya mereka dapat mengalami proses pembesaran secara sihat? Tepuklah dada, tanyalah selera.



(ayat jawapan)Tidak dapat dinafikan lagi bahawa cara yang paling ampuh yang dapat dilakukan oleh ibu bapa dalam usaha mengawal pengambilan makanan ringan dan makanan segera dalam kalangan anak-anak adalah melalui trend pemakanan yang sihat bersama dengan keluarga. (ayat contoh) Ibu bapa seharusnya mengimplementasikan gaya pemakanan yang sihat dengan menyajikan hidangan yang cukup tujuh kelas makanan iaitu karbohidrat, protein, lemak, garam mineral, air, vitamin dan pelawas dalam kuantiti yang betul dalam menu harian. (huraian ayat contoh)Namun ironisnya, ibu bapa kontemporari lebih gemar menyajikan makanan segera seperti mi rebus dan pizza sebagai hidangan utama kerana sifat malasnya untuk menyajikan makanan berat, anak-anak akan menjadi terbiasa untuk memakan makanan ringan dan makanan segera kerana seperti kata peribahasa alah biasa tegal biasa. (huraian ayat jawapan-kesan-why)Sekiranya ibu bapa mengamalkan trend pemakanan sihat di rumah, anak-anak akan berasakan bahawa mengkonsumsi makanan segera dan makanan ringan sebagai satu perkara tidak berfaedah dan tidak memberikan kesan baik terhadap kesihatan mereka walhal sebenarnya, walhal hanya akan memberikan kesan buruk dalam jangka masa panjang.  (Huraian ayat jawapan-why)Anak-anak juga dapat menyedari bahawa sekiranya mereka tidak mengamalkan makanan yang seimbang, kehidupan mereka akan berakhir dengan serangan penyakit fatal seperti sakit jantung, kolestrol tinggi dan kencing manis. (Huraian ayat jawapan-why)Trend pengambilan makanan yang sihat dalam kalangan keluarga merupakan langkah yang paling efektif untuk mengurangkan pengambilan makanan ringan dan makanan segera dalam kalangan anak-anak kerana Franklin D. Roosevelt, bekas Presiden Amerika Syarikat ke-32 pernah berkata bahawa segala perbuatan dan kebiasaan bermula dari rumah. (ayat tegasan jawapan) Tegasnya, ibu bapa perlulah mengamalkan trend gaya pemakanan yang sihat dan seimbang di rumah agar dapat mengurangkan kadar pengambilan makanan yang tidak sihat berupa makanan ringan dan makanan segera dalam kalangan anak-anak mereka.




  (ayat jawapan 2) Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan mengenai bahaya pengambilan makanan ringan dan makanan segera kepada anak-anak sejak mereka berada di usia dini lagi. (ayat contoh) Tamsilnya, ibu bapa boleh  menerangkan kandungan-kandungan makanan ringan dan makanan segera yang  berbahaya kepada anak-anak. (huraian ayat jawapan-why-kesan)Anak-anak yang didedahkan kepada bahaya makanan ringan dan makanan segera sejak kecil lagi akan cenderung untuk menjauhi makanan-makanan tersebut kerana sedar akan keburukannya kepada kesihatan. (ayat huraian jawapan-why-kesan 2)Rentetan pendedahan tentang pengetahuan kandungan makanan sejak kecil akan menjadikan minda anak-anak lebih terbuka untuk bijak dalam mengkonsumi makanan berdasarkan keperluan tubuh badan sihat bukan kerana rasanya yang lazat semata-mata. (ayat huraian jawapan-why-kesan 3)Mereka juga akan dapat menilai yang mana permata dan yang mana kaca ketika memilih makanan. (ayat huraian jawapan-why-kesan 4)Kesannya, anak-anak akan terbiasa untuk makan makanan yang sihat dengan menjauhi makanan ringan dan makanan segera yang mengandungi banyak pewarna makanan serta bahan aditif (ayat contoh kesan)seperti Monosodium Glutamat (MSG) yang boleh mengakibatkan  hiperaktif dan kanser. (ayat huraian contoh- how)Kajian dari Universitif Oxford, England mendapati bahawa makanan ringan menjadi punca peningkatan keganasan dalam masyarakat yang semakin ketara sejak 50 tahun kebelakangan ini kerana kurangnya zat-zat tertentu terutamanya Omega-3 akibat seseorang itu banyak mengambil makanan ringan. (ayat huraian –how)Kajian ini membuktikan bahawa pengambilan makanan ringan yang banyak akan memberikan impak yang signifikan kepada mental seseorang terutamanya anak-anak yang masih dalam proses pembesaran. (ayat tegasan jawapan)Sesungguhnya, ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam memberikan pendidikan awal  mengenai bahaya pengambilan makanan ringan dan makanan segera kepada anak-anak supaya kesedaran terhadap gaya pemakanan yang sihat dapat dipupuk sejak mereka kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.




            Selain itu, ibu bapa perlulah menyediakan bekalan makanan buat anak-anak di sekolah sebagai langkah untuk mengurangkan pengambilan makanan ringan dan makanan segera. Contohnya, ibu bapa boleh menyediakan makanan kegemaran anak-anak supaya mereka tidak tertarik untuk membeli jajan seperti gula-gula dan keropok-keropok di luar sekolah. Ibu bapa juga boleh menambahkan buah-buahan seperti epal dan hirisan kacang panjang atau lobak supaya anak-anak turut mendapatkan manfaat yang lebih daripada bekal makanan mereka disamping menghindarkan diri daripada mengambil makanan ringan seperti kata peribahasa sambil menyelam minum air. Amalan ini sebenarnya sudah lama diterapkan di negara matahari terbit iaitu di negara Jepun. Anak-anak tidak dibenarkan untuk membawa wang saku ke sekolah tetapi diwajibkan membawa bento atau pun bekal makanan ke sekolah. Langkah ini merupakan inisiatif daripada Kementerian Pendidikan, Sains dan Sukan Jepun untuk mengatasi kegemukan, sindrom metabolik dan penyakit-penyakit kronik lain yang disebabkan  oleh pengambilan makanan yang tidak seimbang dalam kalangan anak-anak. Jika amalan ini diterapkan di Malaysia, tentulah anak-anak tidak lagi perlu berbelanja di sekolah atau terjebak oleh  makanan ringan dan makanan segera yang dijual di luar kawasan sekolah yang tidak sudah sah tidak terjamin kebersihannya. Makanan ringan beraneka jenis yang ditawarkan di mesin layan diri tidak akan menjadi pilihan makanan anak-anak kerana mereka sudah membawa bekal makanan yang disediakan oleh ibu bapa masing-masing dengan penuh kasih sayang malahan tiada alasan untuk anak-anak membawa wang saku ke sekolah. Sesungguhnya, amalan membawa bekal makanan sendiri dari rumah merupakan inisiatif yang perlu dilakukan oleh ibu bapa supaya anak-anak tidak mempunyai alasan untuk membeli makanan ringan dan makanan segera di sekolah.



            Akhir sekali, ibu bapa sewajarnya mengawal pengambilan makanan ringan dan makanan segera oleh anak-anak mereka dengan cara mengehadkan peruntukan perbelanjaan mereka terhadap makanan-makanan yang tidak menyihatkan kepada anak-anak mereka. Contohnya, anak-anak hanya dibenarkan untuk membeli makanan ringan dan makanan segera sekali seminggu atau pada majlis-majlis keraikan sahaja. Kajian yang dijalankan oleh Cable News Network (CNN) menunjukkan bahwa rata-rata satu pertiga daripada keluarga-keluarga di Amerika Syarikat keluar makan di restoran makanan segera setiap hari. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengambil langkah bijak mengurangkan peruntukan perbelanjaan makan bersama dengan anak-anak di luar sebagai contoh,dengan cara hanya makan di restoran makanan segera satu kali dalam dua minggu. Dengan cara ini semestinya ibu bapa akan dapat memantau dan mengawasi pemakanan anak-anak sejak usia muda lagi. Tindakan mengehadkan pola pemakanan makanan ringan dan makanan segera secara berhemah ini juga akan dapat menghindarkan anak-anak daripada risiko mendapat penyakit kronik seperti sakit jantung, asma dan penyakit darah tinggi kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Cara ini juga secara tidak langsung akan melatih anak-anak supaya tidak menjadikan makanan segera dan makanan ringan sebagai alternatif kepada makanan berat kerana orang-orang tua mengatakan bahawa jangan ambil senang jika tidak mahu susah. Jika ibu bapa berjaya mengehadkan perbelanjaan mereka terhadap makanan yang tidak menyihatkan,  nescaya mereka dapat menghindarkan anak-anak daripada komplikasi kesihatan pada masa hadapan yang mana sudah pasti akan melibatkan kos rawatan yang tinggi. Sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa memainkan peranan utama dalam mengehadkan perbelanjaan terhadap makanan segera dan makanan ringan bagi mengawal pengambilan makanan yang tidak menyihatkan ini dalam kalangan anak-anak mereka.


    
    Kesimpulannya, ibu bapa ialah orang yang memegang senjata paling ampuh dalam mengawal pengambilan makanan ringan dan makanan segera dalam kalangan anak-anak. Berdasarkan perbincangan di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa langkah-langkah paradigma boleh diambil oleh ibu bapa dalam membendung pengambilan makanan ringan dan makanan segera bagi menghindarkan anak-anak daripada didiagnosis dengan penyakit-penyakit seperti kencing manis, dan hiperaktif. Ibu bapa tidak boleh memandang perkara ini dengan sebelah mata kerana jika mereka alpa terhadap pemakanan anak-anak, banyak konsekuensi buruk yang akan menimpa anak-anak. Buktinya, kajian di Baycrest Centre di Universiti Toronto, Kanada merumuskan bahawa makanan segera boleh merosakkan fungsi otak anak-anak. Anak-anak yang masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang memerlukan nutrien bermanfaat yang secukupnya untuk tumbesaran yang baik. Ibu bapa sewajarnya menjadi pemandu ke arah landasan hidup yang sihat kepada anak-anak dengan menerapkan gaya pemakanan hidup yang sihat dalam kalangan keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah berganding bahu dalam mengawal pengambilan makanan ringan dan makanan segera dalam kalangan anak-anak mereka. Janganlah ibu bapa mengambil sikap acuh tak acuh mahupun  berlepas tangan begitu sahaja dengan lebih memilih makanan segera sebagai alternatif makanan berat dalam ruji harian anak-anak mereka dek kesibukan atau kesuntukan masa walhal tindakan tersebut hanya akan mendedahkan anak-anak kepada gaya pemakanan hidup yang tidak sihat. Cogan kata amalkan gaya hidup sihat perlulah menjadi pedoman hidup ibu bapa dan anak-anak kerana Kita Ialah Apa-apa Yang Kita Makan .






(1407 patah perkataan)
10 Julai 2019
Sumber:





Image result for book coffee pinterest
(credit to the rightful owner @ pinterest)

KARANGAN SPM - Langkah-langkah Untuk Mengatasi Masalah Kemalangan Jalan Raya di Negara Kita




DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!




Isu: Masalah kemalangan jalan raya di negara kita
Kata kunci: Langkah-langkah
Subjek: Umum
Tunjang: Isu kemalangan jalan raya sering menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat



LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH KEMALANGAN JALAN RAYA DI NEGARA KITA


Marcapada ini, isu kemalangan jalan raya acap kali menghiasi dada akhbar surat khabar tempatan kita hingga akhirnya menimbulkan kegusaran dalam masyarakat kita. Fenomena ini kian kritikal apabila semakin banyak kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan berlaku di negara kita seiring berjalannya waktu. Menurut statistik terkini, 281 527 kes kemalangan jalan raya telah dilaporkan dalam enam bulan pertama pada tahun ini, Begitu banyak nyawa yang tidak bersalah telah terkorban dek kecuaian dan kealpaan pemandu-pemandu yang tidak berhemah ketika memandu. Pada zaman nenek moyang kita, kemalangan yang berlaku ketika bertransportasi jarang sekali berlaku kerana mereka hanya bergerak menggunakan 2 pasang kaki mereka ataupun dengan menaiki basikal tanpa perlu bergantung kepada mesin automobil. Namun kini, di mana-mana sahaja kita boleh melihat mesin raksasa ataupun kenderaan-kenderaan yang menyusur di jalan raya. Waima penciptaan kenderaan telah menjadi suatu titik kemajuan pengangkutan masyarakat, namun di sisi buruknya, banyak nyawa nirmala yang terkorban tidak kira manusia ataupun haiwan. Masyarakat kita telah digemparkan dengan berita kemalangan jalan raya fatal yang melibatkan sebuah lori besar dan empat buah kenderaan di Lebuhraya Kuala-Lumpur Seremban yang berlaku pada 25 September 2019 yang lalu. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah menzahirkan kekesalannya terhadap isu kemalangan jalan raya yang terus sahaja berlaku seperti tiada penghujungnya. Isu kemalangan jalan raya inilah yang menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat kita kerana kemalangan ini boleh menimpa sesiapa sahaja kerana malang tidak berbau. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh diusahakan untuk mengatasi masalah kemalangan jalan raya di negara kita agar tiada lagi insan yang terkorban dalam bencana fatal ini? Tepuk dada tanyalah selera.



   Usaha utama yang perlu diimplementasikan ialah pihak kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada para pemandu di seluruh Malaysia. Sikap mazmumah para pemandu yang tidak berhemah ketika memandu dengan sering melanggar had laju yang ditetapkan serta memotong kenderaan secara semborono menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat. Penguatkuasaan undang-undang yang ketat adalah amat vital kerana para pemandu akan lebih peka untuk tidak memandu secara melulu dan agresif tanpa memikirkan keselamatan pemandu-pemandu lain di jalan raya. Negara jiran kita, Singapura telah berjaya menurunkan kadar kematian di jalan raya dengan begitu drastik iaitu cuma terdapat 4 kematian dalam setiap 100,000 penduduk kerana penguatkuasaan undang-undang jalan raya mereka yang begitu tegas. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) perlulah memastikan pemandu-pemandu mengikut semua peraturan di jalan raya dengan mengenakan saman dan denda yang tinggi kepada golongan yang masih berdegil kepala untuk melakukan yang sebaliknya. Dengan perkembangan penggunaan teknologi terkini, pihak kerajaan perlulah memperbanyak pemasangan kamera perangkap kelajuan di jalan raya agar pemandu-pemandu akan akur dengan had kelajuan 110km/h yang digariskan oleh pihak kerajaan. Pemasangan kamera perangkap kelajuan bukan sahaja memudahkan penangkapan pemandu yang bersalah, tetapi juga meringankan beban pihak polis seperti kata peribahasa sambil menyelam minum air. Pemandu-pemandu secara automatiknya akan berasa takut untuk melanggar undang-undang yang ditetapkan kerana denda yang akan dikenakan bukanlah dengan jumlah yang sedikit. Tegasnya, penguatkuasaan undang-undang oleh pihak kerajaan dapat mengatasi kemalangan jalan raya di negara kita di samping mendisiplinkan pemandu-pemandu di negara kita.



   Melihat dari perspektif yang lain, ibu bapa memegang obligasi yang amat signifikan dalam usaha mengatasi masalah kemalangan jalan raya di negara kita. Anak-anak pada zahirnya merupakan cermin kepada perilaku ibu bapa mereka sendiri. Rata-rata, pemandu memandu secara tidak berhemah di jalan raya kerana mencontohi gaya ibu bapa mereka memandu di jalan raya bak kata peribahasa bapa borek, anak rintik. Dalam konteks ini, ibu bapa sewajarnya memberi khudwah hasanah kepada anak-anak ketika memandu di jalan raya agar mereka dapat mencontohinya kelak. Sebagai tamsilnya, ibu bapa perlulah sentiasa bertolak ansur dengan mengenepikan sifat mementingkan diri sendiri ketika memandu kenderaan di jalan raya. Jika ibu bapa bersikap acuh tak acuh dengan memandu ikut suka hati mereka, nescaya anak-anak juga akan menjadi dua kali lima sahaja apabila memandu di jalan raya. Nilai-nilai murni dan etika memandu perlulah diterapkan sejak mereka kecil lagi agar mereka sedar betapa bahayanya konsekuensi yang akan dihadapi oleh mereka jika mereka tidak mengikuti garis undang-undang jalan raya yang telahpun diimplementasikan oleh pihak kerajaan. Adapun ketika anak-anak baru sahaja memperoleh lesen memandu, ibu bapa sewajarnya terus menantau anak-anak ketika memandu kerana statistik menunjukkan bahawa kebanyakan pemandu yang tidak berhemah terdiri dari golongan muda yang baru sahaja ingin menunjukkan taringnya di jalan raya. Buktinya, seorang murid sekolah berumur 13 tahun dilaporkan maut digilis sebuah lori ketika membonceng motosikal bersama rakannya beberapa hari lalu. Berita yang menyayat hati ini berlaku dek kecuaian ibu bapa dalam memberikan didikan keselamatan jalan raya dengan memberikan kebebasan penuh kepada anaknya untuk berkenderaan walaupun belum sampai usianya lagi. Iktibar perlulah diambil oleh ibu bapa dari kejadian ini kerana tiada ibu bapa pun yang mahu kehilangan anaknya akibat kecuaian mereka sendiri. Sesungguhnya, ibu bapa memainkan peranan utama dalam mentarbiah anak-anak untuk menjadi pemandu sejati di jalan raya kerana anak-anak bagaikan kain putih nirmala dan ibu bapalah yang mencorakkannya dengan khudwah khasanah yang mahmudah agar mereka membesar menjadi insan yang patuh akan semua peraturan negara.



Dalam nada yang lain, pihak kerajaan haruslah membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Kita sudah banyak kali mendengar laporan kes-kes kemalangan jalan raya akibat struktur jalan raya yang rosak dan berbahaya sehingga mengorbankan nyawa pemandu-pemandu yang melalui jalan tersebut. Tamsilnya, jalan lebuhraya menuju ke Klang acap kali mengalami kerosakan akibat kenderaan-kenderaan berat yang mengangkut barang-barang perdagangan serta bahan-bahan pembinaan menjadikan jalan raya melendur dan bitumen jalan tersebut tercabut. Keadaan ini menjadikan rekahan jalan yang bermula dari keretakan kecil di kiri dan kanan yang akhirnya menjadikan jalan tersebut berlubang. Lebih-lebih lagi lebuhraya tersebut menjadi laluan alternatif kebanyakan pemandu yang ingin menuju ke Klang, kepadatan kenderaan yang melalui jalan tersebut menyumbang kerosakan jalan raya persis peribahasa inggeris menambahkan garam ke luka yang bermaksud memburukkan lagi keadaan yang sedia buruk. Pihak kerajaan sepatutnya sigap dalam mengambil tindakan awal dengan menurap kembali jalan tersebut dengan giat kerana jika gagal diselenggarakan, lebih banyak kemalangan yang tidak diingini akan berlaku. Berdasarkan statistik bajet 2015, kerajaan telah memperuntukkan 600 hingga 800 juta khusus untuk penyelenggaraan jalan raya di negara kita. Waima peruntukkan tersebut telah berkurang kepada 500 juta akibat inflasi ekonomi negara, pihak-pihak yang bertanggungjawan ke atas penyelenggaraan jalan raya seharusnya menggunakan bajet itu sepenuhnya bagi membaik pulih struktur jalan-jalan raya di negara kita. Bagi kawasan negeri-negeri, jalan-jalan raya diwartakan dibawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) manakala jalan-jalan persekutuan pula diwartakan di bawah Sistem Jalan Persekutuan Malaysia (MARRIS). Pihak-pihak ini yang seharusnya memastikan jalan-jalan raya di seluruh Malaysia selamat digunakan oleh pemandu-pemandu kerana isu kemalangan jalan rayalah yang selalu menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, pihak kerajaan memainkan peranan yang primer dalam memastikan keadaan jalan raya yang selamat bagi penggunaan masyarakat agar tidak berlaku kemalangan disebabkan struktur jalan raya yang buruk.



    Akhir sekali, kempen-kempen kesedaran keselamatan jalan raya perlulah giat diadakan oleh pihak kerajaan bagi semua golongan masyarakat. Pihak Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya merupakan pihak yang sering kali diberikan amanah dalam melaksanakan kempen kesedaran jalan raya. Melalui kempen ini, pihak yang bertanggungjawab perlulah menyebarkan konsekuensi-konsekuensi fatal yang boleh terjadi kepada pemandu apabila tidak berhati-hati ketika memandu. Objektif utama kempen-kempen ini dijalankan adalah untuk menyuntik kesedaran dalam diri pemandu-pemandu dan penumpang-penumpang agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi segala peraturan di jalan raya ketika berkenderaan. Pihak kerajaan boleh menyebarkan kempen ini melalui media massa dan media sosial yang menjadi medium terpantas dalam penyaluran maklumat pada masa kini. Inisiatif ini akan mampu meminimumkan kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita kerana masyarakat telahpun sedar mengenai bahaya memandu tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pemandu di sekitarnya. Langkah ini amat signifikan bagi menangani isu yang kian membarah sehingga menjadi fokus perbincangan masyarakat kita. Kempen-kempen ini seharusnya diadakan secara berterusan dan bukannya sekedar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batuk di tangga. Jika hanya sebelah pihak sahaja yang beria-ria dalam penganjuran kempen ini, tentulah usaha untuk menyedarkan masyarakat mengenai keselamatan jalan raya hanya akan menjadi seperti mencurah air ke daun keladi. Masyarakat perlulah digalakkan dan diseru agar menjayakan kempen keselamatan jalan raya agar tiada lagi individu keras kepala yang hanya mementingkan diri sendiri ketika memandu di jalan raya yang akhirnya membahayakan nyawa orang lain juga. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan seharusnya giat menjalankan kempen kesedaran keselamatan jalan raya agar dapat mendidik masyarakat menjadi pemandu yang beretika dan berdisiplin di jalan raya.



   Berdasarkan huraian-huraian diatas, terbuktilah bahawa banyak langkah yang boleh diusahakan untuk mengatasi kemalangan jalan raya di negara kita. Isu kemalangan jalan raya yang menjadi fokus perbincangan masyarakat di negara kita tidak boleh diambil enteng oleh semua pihak kerana isu ini melibatkan nyawa-nyawa insan yang berharga di negara kita. Kesimpulannya, semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing dalam membendung isu kemalangan jalan raya agar tiada lagi insan yang tidak bersalah menjadi korban kecuaian dan mangsa keadaan jalan raya rosak yang seharusnya dapat diperbaiki jika semua pihak mengambil berat terhadap masalah ini. Marilah kita semua sama-sama berganding bahu memulakan langkah pertama dalam usaha mengatasi masalah ini kerana ahli falsafah yang masyhur, Lao Tzu mengatakan bahawa langkah pertamalah yang akan memungkinkan perjalanan berjauh-jauh batu menuju kejayaan. Janganlah kita menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hanya kerana ketamakan dan sikap nafsi yang hanya akan membawa padah kepada masyarakat sekeliling. Kita sebagai rakyat mestilah menggembleng tenaga untuk bersatu padu membantu pihak kerajaan dalam usaha menjadikan jalan raya selamat dan boleh diakses oleh semua orang. Sekiranya isu ini diambil berat oleh semua pihak, tentulah kadar kemalangan jalan raya akan rendah seterusnya menaikkan imej negara di mata dunia. Oleh itu, berhati-hatilah ketika memandu, cegah sebelum parah kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.



(Hebatalla Kamaluddin, 5 KAA)
4/10/2019 , 5:34 pagi, 1577 patah perkataan



Image result for book coffee pinterest
(credit to the rightful owner @ pinterest)

Auto Post Signature

Auto Post  Signature