DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!
Isu : Penggunaan Internet
Kata kunci : Kebaikan dan keburukan
Subjek : Anda (remaja)
Tunjang : Penggunaan Internet dianggap sebagai
satu gaya hidup para remaja pada abad ini
KEBAIKAN
DAN KEBURUKAN PENGGUNAAN INTERNET
Saban hari, penggunaan internet semakin
berleluasa dalam kehidupan manusia di seantero dunia terutamanya dalam kalangan
remaja seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Internet menjadi wadah
ataupun medium terpenting yang memungkinkan seseorang remaja mencari
apa-apa sahaja maklumat serta berhubung dengan dunia luar kerana segala-galanya
berada di hujung jari. Pada zaman dahulu ketika internet belum lagi
tercipta, remaja hidup secara praktikal iaitu dengan menulis surat untuk
dihantar kepada mereka yang jauh menggunakan perkhidmatan pos, berbelanja ke
toko-toko untuk membeli sesuatu dan mengunjungi perpustakaan demi mendapatkan
maklumat. Namun kini, penggunaan internet yang semakin berleluasa dalam hidup
manusia terutamanya dalam kalangan remaja telah memudahkan urusan harian mereka
kerana kini penggunaan internet telah menjadi gaya hidup para remaja pada abad
ini. Remaja kontemporari tidak perlu lagi mencurahkan tenaga dan masa
untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini di perpustakaan dan mereka dapat
menyiapkan tugasan-tugasan mereka dengan mudah. Oleh itu, tidak hairanlah
remaja merupakan pengguna internet paling dominan kerana mereka
mempunyai banyak keperluan dalam penggunaan internet. John Landgraf, iaitu
pengarah syarikat saluran televisyen FX pernah mengatakan bahawa teknologi
informasi dan internet dengan pantasnya mengubah hampir setiap aspek kehidupan
kita, sebahagian lagi menjadi lebih baik dan sebahagian lagi menjadi lebih
buruk. Pernyataan beliau membuktikan bahawa waima terdapat pelbagai
perdebatan tentang pro dan kontra dalam penggunaan internet, namun tiada
sesiapapun yang boleh melarikan diri daripada ledakan teknologi maklumat yang
cukup canggih itu. Oleh itu persoalannya, apakah kebaikan dan keburukan
daripada penggunaan teknologi internet kepada saya sebagai seorang remaja?
Salah satu kebaikan penggunaan internet
kepada saya sebagai seorang remaja ialah saya dapat mengakses
maklumat-maklumat cukup pantas hanya dengan satu klik sahaja pada laman
carian Google. Maklumat carian bukan sahaja muncul dalam bentuk teks, tetapi
juga dalam bentuk grafik, audio dan animasi. Maklumat-maklumat yang muncul
dalam pelbagai bentuk telah banyak membantu saya untuk memahami sesuatu
pelajaran yang memerlukan visual dan imaginasi seperti subjek Biologi dan
Fizik. Di samping mendapatkan akses kepada maklumat-maklumat tanpa
sempadan, saya juga dapat menjimatkan kos membeli buku dan masa emas
saya yang terbuang untuk pergi ke perpustakaan. Hal ini bertepatan dengan kata
peribahasa sambil menyelam minum air kerana saya tidak akan merasa
terbeban untuk memperoleh maklumat-maklumat dengan cara yang mudah dan praktikal.
Penggunaan internet telah sedikit sebanyak membantu saya dalam pembelajaran
saya kerana melalui laman Youtube, saya boleh belajar daripada guru-guru yang
baik hati untuk merakamkan video mereka mengajar agar dapat dimanfaatkan oleh
murid-murid lain juga. Benarlah kata-kata Kent Conrad, ahli politik
termasyhur di Amerika yang mengatakan bahawa akses computer dan internet telah
menjadi kebutuhan bagi dasar pendidikan dalam masyarakat kita. Saya sebagai
seorang remaja yang mendahagakan ilmu pengetahuan dapat menimba sebanyak mana
ilmu-ilmu dalam pelbagai aspek hanya dengan berbekalkan telefon pintar dan
jaringan internet. Kehadiran internet yang telah menjadi gaya hidup saya
membolehkan saya untuk menjadi seorang yang penuh ilmu di dada dan tidak mudah
terpedaya dengan fakta-fakta yang teleh diselewengkan kerana saya dapat mencari
kebenaran dengan mudahnya melalui penggunaan internet. Tegasnya, kebaikan
penggunaan internet kepada saya ialah saya dapat memanfaatkan jaringan internet
untuk mengakses maklumat-maklumat dari sumber yang bervariasi dengan mudah
untuk membantu saya dalam pembelajaran saya.
Seterusnya, saya juga dapat menambah kenalan
baru melalui penggunaan internet. Hal ini boleh dikatakan sedemikian kerana
terdapat banyak laman sosial dan aplikasi sosial seperti Facebook, Instagram,
Twitter dan Telegram yang membolehkan saya untuk berhubung dengan sesiapa
sahaja waima mereka tinggal berjuta-juta batu dari saya. Saya dapat berinteraksi
dengan dunia luar tanpa perlu mengeluarkan sepeser pun untuk terbang ke
negara dan benua lain. Kami akan dapat saling bertukar pendapat mengenai
pelbagai perkara yang diminati dengan mudah pada bila-bila masa sahaja tanpa
sebarang halangan. Tamsilnya, saya dapat menghubungi kenalan atas talian
saya yang berasal dari Jepun untuk bertanyakan norma kehidupan masyarakat Jepun
kerana saya amat memandang tinggi budaya hidup marhaen negara matahari
terbit. Saya juga telah dihubungi oleh beberapa insan luar negara yang
ingin mengetahui Malaysia dari sudut perspektif masyarakat lokal
melalui aplikasi sosial yang bernama Amino. Melalui interaksi bersama
kenalan-kenalan saya yang terdiri daripada ras dan kewarganegaraan yang heterogen,
saya dapat membuka minda saya dan meluaskan horizon pemikiran saya terhadap
dunia kerana saya tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung yang
tidak mengetahui gaya hidup masyarakat luar walaupun hanya tinggal statik
di tanah air sendiri dan membesar dalam lingkungan komuniti yang sama kerana
saya masih seorang remaja yang tinggal sebumbung dengan ibu bapa saya.
Penggunaan internet telah membantu saya mencipta gaya hidup yang penuh dengan
interaksi sosial dengan dunia luar yang membuatkan saya sofistikated untuk
berkenal-kenalan dengan manusia seluruh dunia yang beragam-ragam. Sesungguhnya,
penggunaan internet membolehkan saya menambah kenalan saya yang terdiri
daripada insan-insan dengan latar belakang yang berbeda-beda tanpa perlu
bermusafir ke negara-negara lain,
Namun, di sebalik kemajuan teknologi
internet yang membawa kepada banyak kemaslahatan kepada saya, sudah
tentu terdapat banyak keburukan yang boleh menimpa saya jika saya tidak
berhati-hati dalam menggunakan internet. Antara keburukan penggunaan internet
ialah diri saya akan terlalai dengan menggunakan internet sepanjang masa tanpa
menghiraukan masa. Penggunaan internet secara berlebihan akan mendorong
seseorang ketagihan untuk menggunakan internet sepanjang masa terutamanya pada
usia remaja. Masalah penggunaan internet secara berlebihan dalam kalangan
remaja acap kali dikaitkan dengan kecanduan mereka untuk bermain permainan
video dalam telefon pintar mereka seperti League of Legends, Mobile Legends dan
Call of Duty. Kegilaan remaja terutamanya kaum adam untuk bermain permainan
video semakin lama semakin parah kerana mereka sanggup menghabiskan wang jajan
mereka untuk membeli peralatan-peralatan maya dalam permainan video tersebut.
Bagi kaum hawa pula, selalunya mereka ketagihan untuk melayan media
sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook sehingga hilang kesedaran
terhadap masa yang terbuang begitu sahaja. Kecanduan terhadap penggunaan
internet membuatkan remaja cenderung untuk mengasingkan diri mereka dalam bilik
mereka daripada dunia sebenar kerana mereka lebih selesa untuk berada di alam
maya tanpa berinteraksi dengan manusia sebenar. Mereka menerapkan gaya hidup
berasaskan penggunaan internet semata-mata sehingga menimbulkan sikap
mementingkan diri sendiri dan kurang bergaul dengan orang lain. Fenomena ini
paling izhar berlaku di Jepun sehingga terwujudlah satu istilah iaitu ‘Hikikomori’
yang ditujukan kepada sekelompok orang yang hanya mengurungkan diri dalam bilik
mereka untuk menggunakan internet tanpa berinteraksi langsung dengan manusia
sekeliling. Senario ini amat membimbangkan kerana seseorang itu akan hilang
skil berkomunikasi dan tidak peka dengan perkembangan sekeliling akibat jarang
berpijak pada bumi yang nyata. Perkara inilah yang paling saya mahu hindarkan
kerana sebagai manusia yang fitrahnya adalah untuk berhubung sesame manusia,
saya tidak mahu internet menjadi penyebab utama saya mensia-siakan waktu
berharga untuk menelaah ilmu pengetahuan sehingga menjejaskan prestasi
kecemerlangan saya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa keburukan
penggunaan internet ialah boleh menyebabkan saya terlalai untuk menggunakannya
sepanjang masa sehingga terputus dengan realiti kehidupan sebenar.
Akhir sekali, penggunaan internet tanpa
kawalan boleh menyebabkan saya terdedah kepada unsur-unsur kejahatan
berlegar-legar dalam internet. Waima terdapat banyak informasi berilmiah
dalam internet, namun terdapat juga perkara-perkara yang tidak sepatutnya
dilihat oleh orang ramai terutamanya remaja seperti video-video brutal
dan pornografi. Bahan-bahan inilah yang boleh merosakkan dan meracuni
akal fikiran remaja kerana pada dasarnya, remaja ialah insan yang masih dalam
proses mengenali dunia dan tidak boleh membezakan yang mana permata dan
kaca. Remaja juga terdedah terhadap budaya kuning yang benar-benar kontra
dengan adat resam dan nilai murni orang Melayu yang mementingkan budi bahasa
dan nilai pekerti setiap insan. Remaja-remaja akhirnya akan menerapkan
unsur-unsur mazmumah yang diperoleh daripada internet dalam kehidupan
mereka sehingga perkara mungkar ini menjadi gaya hidup para remaja pada abad
ini. Maka tidak hairanlah ramai remaja yang berperikelakuan ganas serta
terjerumus dengan gejala sosial seperti budaya berpelesiran di kaki-kaji jalan
, menghisap rokok serta pergaulan bebas. Senario ini berlaku akibat pengaruh
unsur-unsur mazmumah yang tersebar luas melalui internet persis virus
epidemik. Keadaan ini amat membimbangkan kerana nilai murni dan budi
pekerti akan sirna dan lenyap begitu sahaja daripada diri para remaja.
Tuntasnya, saya akan terdedah dengan sisi gelap internet apabila menggunakannya
tanpa kawalan dan had kerana internet membolehkan dunia tanpa sempadan baik
bagi perkara baik ataupun buruk.
Berdasarkan huraian-huraian diatas,
terbuktilah bahawa penggunaan internet mempunyai kebaikan dan keburukannya
sendiri terhadap saya sebagai remaja. Internet yang merupakan sebuah penciptaan
teknologi tercanggih perlulah digunakan sesuai keperluan dan kemaslahatan agar
tiada sesiapa pun yang akan mendapatkan keburukan daripada menggunakannya. Saya
sebagai seorang remaja sewajarnya memaksimumkan penggunaan internet
untuk perkara-perkara yang penting sahaja supaya saya tidak menyalahgunakan
kemudahan internet. Oleh itu, saya menyeru remaja-remaja lain agar menjadi
pengguna internet yang bijak. Semua remaja perlulah bertanggungjawab terhadap
diri sendiri dengan tidak membiarkan diri mereka sendiri terjebak dalam kancah
kemusnahan diri akibat menjadi mangsa kepada kemusnahan sosial dan akal melalui
penggunaan internet yang tidak terkawal. Pengaruh internet telah sedikit
sebanyak menjadi sebati dalam kehidupan saya dan remaja-remaja lain.
Jika semua remaja menyalahgunakan kemudahan internet yang ada untuk melakukan
perkara-perkara mungkar dan sia-sia, apakah yang akan terjadi terhadap masa
depan anak bangsa kelak? Saidina Ali sendiri yang pernah mengataakn bahawa
jika kita mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah
pemuda-pemudinya pada hari ini. Janganlah
kita menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
dalam usaha mendisiplinkan diri sendiri dan remaja-remaja lain kerana pada
akhirnya, konsekuensi penggunaan internet secara berlebihan yang menjadi
gaya hidup para remaja pada hari ini bukan sahaja berdampak buruk kepada diri
kita, namun juga kepada masyarakat dan negara. Oleh sebab itu, saya mestilah
menjadi pengguna internet yang bijak dan berdisiplin serta memanfaatkan
sepenuhnya penggunaan internet untuk menjadi seseorang yang lebih berilmu
pengetahuan luas, berwawasan dan holistik dalam bidang teknologi,
komunikasi dan juga akademik.
-
Hebatalla
Kamaluddin , 5 KAA , 13 Oktober 2019, 1555 patah perkataan
Sumber:
(credit to the rightful owner @ pinterest)
Ayat nya snagt cantek
ReplyDeleteHuraian relevan dan matang
DeleteTerbaik❤
ReplyDeleteLove it��
ReplyDeleteI love it thank you
ReplyDeleteTq memang terbaikk lahh
ReplyDeleteSaya minta eaa cikgu
ReplyDeleteSaya mintak ya tq
ReplyDeletekarangan ni memang panjang dan penuh dengan perkataan boombastic. �� Semua perkataan2 yg cantik dan level tinggi ni. Cubalah post ttg rahsia nak dapat straight A
ReplyDeleteSalam..cikgu..sy mohon share bhn krgn utk anak sy.semoga Allah merahmati perkongsian ckgu.tqvm
ReplyDeletemantap..
ReplyDeleteJajan . Bahasa indo
ReplyDelete