DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!
Isu : Menarik minat
para siswazah menceburkan diri dalam bidang pertanian
Kata Kunci :
Peranan pihak-pihak
Sasaran : Umum
Jenis : Pendapat
PERANAN PIHAK-PIHAK DALAM MENARIK
MINAT PARA SISWAZAH MENCEBURKAN DIRI DALAM BIDANG PERTANIAN
Dalam meniti arus
modenisasi dan globalisasi, semua negara di seluruh dunia sedang rancak
menggerakkan usaha pengembangan teknologi dan kemahiran bagi menjayakan Revolusi
Perindustrian 4.0. Rentetan daripada itu, sektor pertanian semakin
dilupakan dan disisihkan daripada usaha pembangunan negara. Jika kita menelusuri
liku-liku sejarah, kita dapat mengetahui bahawa antara masyarakat
maritim dengan agraria, masing-masing saling memerlukan. Namun kini, marhaen
yang berfikiran jumud menganggap sektor pertanian sebagai solusi
pekerjaan bagi mereka yang hidup di kampung dan tidak berpendidikan, Walhal,
pembangunan negara tidak boleh dilaksanakan hanya dengan pengembangan sektor
perindustrian kerana sektor pertanianlah yang menjadi nadi terpenting dalam
membangunkan ekonomi negara. Pihak kerajaan telah meningkatkan kedudukan sektor
ini semul dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan Malaysia
Kesembilan apabila menyedari bahawa negara terpaksa berbelanja melebihi
RM15 bilion setahun untuk mengeksport barangan dan makanan. Oleh itu
persoalannya, apakah peranan pihak-pihak dalam mengambil inisiatif untuk
menarik minat para siswazah menceburkan diri dalam bidang tersebut?
Salah satu langkah
bagi menarik perhatian para siswazah menceburkan diri dalam bidang tersebut
ialah ibu bapa perlulah mendedahkan anak-anak dengan bidang pertanian sejak
mereka di usia dini lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Ibu bapa perlulah menunjukkan khudwah hasanah dengan melakukan aktiviti
pertanian bersama-sama di halaman rumah masing-masing. Sikap cinta akan
pertanian dalam diri anak-anak juga dapat disemai dengan membawa mereka ke Pameran
Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) yang
diadakan setiap 2 tahun supaya mereka dapat meneroka pelbagai cabang pertanian
dengan lebih lanjut. Konsekuensinya, anak-anak akan sedar betapa
menariknya bidang pertanian dan mereka akan berazam untuk menceburi bidang ini
apabila mereka dewasa kelak. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang amat ampuh
bagi melahirkan siswazah-siswazah yang meneruskan legasi bidang
pertanian di negara kita.
Dalam nada yang
lain, pihak bank pertanian perlulah memberi pinjaman dan modal kepada para
siswazah yang baru memulakan projek pertanian mereka. Siswazah-siswazah pada
umumnya tidak mempunyai simpanan wang yang banyak kerana tidak mempunyai sumber
pendapatan yang tetap yang menjadi batu penghalang bagi mereka memulakan
usaha pertanian. Skim pinjaman berkadar faedah rendah perlulah ditawarkan
kepada para siswazah. Tamsilnya, bank Agrobank telah menawarkan Modal
Usahawan 1 Malaysia kepada para petani baru untuk mengusahakan industri
kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian. Natijahnya, ramai siswazah
yang boleh mengusahakan bidang pertanian tanpa perlu rungsing memikirkan
jalan penyelesaian bagi membekalkan dana yang cukup untuk memulakan usaha
pertanian. Sesungguhnya, peranan pihak bank pertanian amat ampuh dalam
membolehkan siswazah-siswazah memulakan usaha pertanian sendiri.
Sementelahan, para
siswazah perlulah didedahkan dengan bidang-bidang dalam sektor pertanian
seperti bidang agropelancongan. Majoriti masyarakat berfikiran bahawa pekerjaan
dalam sektor pertanian hanya melibatkan aktiviti turun padang untuk menanam dan
menuai serta perlu bergelumang dengan peluh dan lumpur di bawah cahaya
matahari yang terik. Namun sebenarnya, peluang pekerjaan dalam sektor pertanian
amatlah luas. Siswazah yang mempunyai ijazah pelancongan boleh menceburkan diri
dalam bidang agropelancongan. Kemudahan di kawasan pertanian perlulah disediakan
seperti komoditi penginapan yang lengkap. Para pelancong asing bolehlah
menginap di kawasan kampung sambil mendapatkan pengalaman menjalankan aktiviti
pertanian persis gaya hidup orang kampung. Scenario ini adalah seperti kata peribahasa
menyelam sambil minum air. Jelaslah bahawa pendedahan bidang-bidang
dalam sektor pertanian akan menarik lebih ramai siswazah untuk menceburkan diri
dalam bidang pertanian.
Selain itu, pihak
kerajaan perlulah membuat reformasi terhadap sektor pertanian agar
siswazah-siswazah tertarik untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Ramai
anak-anak berdarah muda yang kurang berminat untuk menceburkan diri dalam
bidang pertanian kerena berfikiran bahawa mereka perlu bertani dengan kaedah
tradisional seperti yang telah diamalkan sejak berzaman-zaman dahulu. Bukan
sahaja kaedah ini sudah ketinggalan zaman, namun kadar pengeluaran hasil
pertanian adalah sangat rendah berbanding dengan masa dan tenaga yang
dicurahkan. Jika keadaan ini dikekalkan sebegini, petani akan dibelenggu kemiskinan.
Untuk mengikut rentak perkembangan sektor industri, sektor
pertanian perlulah digabungkan dengan ilmu sains dan teknologi yang canggih
bagi memantapkan lagi proses pertanian dan melonjakkan hasil tanaman yang
berkualiti dan berkuantiti. Melalui ilmu bioteknologi, para petani dapat
menanam baka benih berkualiti yang mempunyai daya ketahanan terhadap serangga
persoak dan dapat tumbuh cepat seperti benih padi Bahagia dan Malinja yang
dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI). Kaedah
ini amat sesuai untuk para siswazah yang sudah terbiasa hidup dikelilingi
dengan teknologi canggih yang membuatkan sesuatu pekerjaan dapat dilakukan
dengan efisien dan tangkas. Tegasnya, reformasi terhadap sektor pertanian
perlulah dilaksanakan oleh pihak kerajaan agar siswazah-siswazah lebih tertarik
untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.
Akhir sekali, kempen
kepentingan sektor pertanian perlulah giat dijalankan oleh pihak kerajaan.
Input mengenai maslahat-maslahat sektor pertanian perlulah disebarkan melalui
media massa dan media sosial. Rata-rata para siswazah mempunyai akaun peribadi
dalam aplikasi sosial seperti ‘Instagram’, ‘Whatsapp’ dan ‘Facebook’. Oleh itu,
maklumat-maklumat ini mudah untuk disebarkan ke seluruh negara hanya dengan mengklik
tombol perkongsian tanpa perlu mengeluarkan kos bagi mencetak edaran
kempen. Konsekuensinya, persepsi siswazah-siswazah terhadap
pekerjaan dalam sektor pertanian akan berubah dan mereka mula peka dengan
betapa luasnya skop dalam bidang pertanian. Mereka akhirnya celik dengan
peluang luas dalam bidang pertanian dan boleh mengaplikasikan ilmu kemahiran
mereka dengan sektor pertanian. Sebagai tamsilnya, pelajar jurusan sains boleh
menggabungkan bidang sains dan pertanian untuk mewujudkan bidang pertanian
moden iaitu bidang bioteknologi. Pelbagai inovasi dan pengembangan dapat
dilakukan oleh anak muda apabila kempen kepentingan sektor pertanian
menyedarkan mereka tentang
potensi-potensi yang tersembunyi di sebalik sektor pertanian. Sesungguhnya, kempen
kepentingan sektor pertanian dapat mengubah persepsi siswazah-siswazah
untuk menceburi bidang pertanian ini.
Berdasarkan
huraian-huraian yang telah dikupas di atas, izharlah bawa semua golongan
mempunyai peranan masing-masing dalam memupuk minat para siswazah menceburkan
diri dalam bidang pertanian. Kita haruslah meluaskan horizon pemikiran
kita dengan mengubah persepsi masyarakat terhadap pekerjaan dalam sektor
pertanian yang sebenarnya mempunya seribu satu maslahat kepada masyarakat kita.
Siswazah-siswazah yang baru sahaja menamatkan pelajarannya dan baru hendak
memulakan langkah pertama menginjak fasa kehidupan yang
seterusnya perlulah diberi peluang untuk meneruskan legasi sektor pertanian di
negara kita supaya terus berkembang maju seiring dengan perkembangan
perindustrian negara kita. Kesimpulannya, semua pihak perlulah menggembleng
tenaga untuk menggalakkan penglibatan siswazah-siswazah dalam bidang pertanian.
Marilah kita bersama-sama menyemai sikap cinta akan pertanian agar kejayaan
gemilang kerajaan agrarian yang dulunya megah bertapak di tanah Nusantara dapat
kita wujudkan kembali.
Oleh Hebatallah Kamaluddin , 5 KAA (16 April 2019)
1014 patah perkataan
(credit to the rightful owner @ pinterest)
saya copy ya, thank u
ReplyDeleteterima kasih kerana berkongsi. minta dibuat rujukan
ReplyDeleteterima kasih ;)
ReplyDeletePerkongsian yang amat bagus. ������
ReplyDelete