Top Social

KARANGAN SPM - Kesan-kesan yang akan Dihadapi oleh Masyarakat Jika Usaha Membanteras Jenayah Tidak Ditangani Dengan Segera

11 Dec 2019
DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!





Isu : Usaha membanteras jenayah
Kata-kunci : Kesan-kesan jika tidak ditangani dengan segera
Sasaran : Masyarakat
Format : Pendapat



Kesan-kesan yang akan Dihadapi oleh Masyarakat Jika Usaha Membanteras Jenayah Tidak Ditangani Dengan Segera



   Jenayah ditakrifkan sebagai satu perbuatan yang membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada masyarakat kita seperti perbuatan mencuri, merompak, membunuh dan rasuah. Kebelakangan ini, isu jenayah acap kali terpampang pada muka akhbar dari masa ke masa. Isu jenayah semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita seperti kata peribahasa cendawan tumbuh selepas hujan. Pada zaman nenek moyang kita, masyarakat terdahulu dapat hidup tenang dan selesa kerana rendahnya kadar jenayah yang berlaku dalam masyarakat mereka. Namun keadaan masyarakat kini kelihatan begitu berbeza kerana di mana-mana tempat pun hatta tempat awam mempunyai kemungkinan besar untuk berlakunya jenayah. Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir baru sahaja merasmikan Dasar  Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) untuk menangani jenayah-jenayah di Malaysia. Dasar ini diimplementasikan sebagai satu persiapan bagi negara menghadapi ancaman keselamatan yang begitu kompleks dan sukar ditangani dengan cara-cara konvesional. Lebih-lebih lagi pada masa ini, perbuatan jenayah bukan sahaja sekedar perbuatan yang dilakukan secara nyata dengan fizikal, namun juga secara siber yang melibatkan kegiatan penggodaman internet dan pembulian siber yang semakin rancak kelihatan akhir-akhir ini. Oleh itu persoalannya, apakah kesan-kesan yang akan dihadapi oleh masyarakat jika usaha membanteras jenayah tidak ditangani dengan segera?


   Salah satu kesan tidak menangani gejala jenayah ialah masyarakat akan hidup dalam kegelisahan sepanjang masa kerana keselamatan mereka tidak terjamin. Masyarakat akan sentiasa berasa risau ketika hendak melakukan apa-apa aktiviti sama ada di dalam rumah atau di luar rumah. Tamsilnya, marhaen akan berasa gundah gelana ketika sedang berada di luar rumah ketika bekerja atau belajar kerana risau rumahnya akan dirompak. Manakala ketika berada di dalam rumah pula mereka risau sekiranya rumahnya dimasuki penyamun sedang mereka tidur pulas. Keadaan di mana terdapatnya ramai penjenayah yang masih lagi berlegar-legar secara bebas dalam masyarakat membuatkan marhaen tidak dapat hidup tenang kerana pada bila-bila masa sahaja nyawa atau harta mereka boleh terkorban pada tangan penjenayah. Perkara ini turut mengehadkan kebebasan masyarakat dalam kehidupan seharian. Kerisauan sepanjang masa ini menjadikan masyarakat berada dalam keadaan seperti cacing kepanasan dan pergerakan mereka untuk melakukan apa-apa aktiviti menjadi terhad. Tegasnya, masyarakat akan hidup dalam kegelisahan kerana keselamatan mereka tidak terjamin disebabkan oleh keberadaan penjenayah-penjenayah yang masih belum ditangkap oleh pihak berkuasa dalam masyarakat kita.



   Selain itu, banyak nyawa insan yang suci dan nirmala akan terkorban akibat gejala jenayah yang tidak ditangani dengan segera. Penjenayah-penjenayah tentunya akan menjadikan golongan yang dhaif dan lemah sebagai target kejahatan mereka seperti kanak-kanak. Sering kali kita mendengar kanak-kanak yang masih berusia setahun jagung, setampuk pinang menjadi mangsa penculikan dan pembunuhan yang bagaikan tiada belas kasihan langsung dan perikemanusiaan langsung dalam diri penjenayah tersebut. Ketika zaman nenek moyang kita di mana kadar jenayah adalah cukup rendah, anak-anak boleh sahaja dibiarkan begitu sahaja bermain-main dengan rakan-rakannya di luar rumah. Namun keadaan kini amat kontradiktif dengan keadaan dahulu kala, anak-anak tidak boleh dibiarkan berkeliaran di luar rumah tanpa pengawasan ibu bapa waima sedetik pun kerana terdapat penculik anak-anak yang sentiasa menunggu peluang untuk menculik mereka seperti yang terjadi kepada adik Nurul Huda Abdul Ghani yang telah meninggal dunia dalam kondisi yang paling kejam dan hina sekali pada 2004. Kejadian yang menyayat hati ini telah menggemparkan rakyat Malaysia sekaligus membuktikan bahawa taraf keselamatan masyarakat di negara kita masih berstatus rendah. Seiring berjalannya waktu, statistik menunjukkan bahawa semakin banyak nyawa anak yang berusia dini yang terkorban akibat perbuatan tidak bermoral dan berhati perut ini. Lebih-lebih lagi, dengan perkembangan teknologi maklumat, suspek-suspek ini dapat memperoleh maklumat target-target mereka melalui akaun sosial ahli keluarga target. Berapa lagi nyawa yang perlu dikorbankan sehingga pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku-pelaku ini? Sesungguhnya,jika  gejala jenayah tidak ditangani dengan segera, nescaya banyak nyawa yang seharusnya menjadi penerus generasi bangsa akan terkorban.



   Dalam nada yang lain, kesan tidak menangani gejala jenayah ialah akan terjadinya keruntuhan akhlak dan moral masyarakat kita. Hal ini akan berlaku kerana semakin berleluasanya gejala jenayah dalam norma masyarakat kita, masyarakat kita terutamanya mereka yang berdarah muda dan masih dalam proses mengenali yang mana intan dan permata akan mula terbiasa dengan gejala-gejala ini. Mereka tidak akan menganggap gejala jenayah sebagai suatu perkara yang amat hina dan patut dibejat tetapi mereka menganggapnya sebagai suatu kemalangan yang menimpa orang lain sahaja. Lebih malangnya lagi adalah apabila semakin ramai remaja yang mencontohi gejala-gejala jenayah yang disaksikan di berita ataupun tayangan-tayangan hiburan dari Barat yang mempunyai unsur budaya kuning dan gangsterisme. Tidak hairanlah jika kebanyakan pelaku-pelaku jenayah juga terdiri daripada remaja itu sendiri kerana minda mereka sudah dikotori dengan unsur jenayah kerana mereka menganggapnya sebagai suatu cabaran yang menyeronokkan walhal perbuatan ini membawa padah kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Tamsilnya, baru-baru ini pihak polis telah menahan enam lelaki dan empat perempuan di bawah umur 17 tahun yang didapati positif dadah ketika serbuan dilakukan di sebuah hotel di Georgetown. Berita ini telah membuktikan bahawa gejala jenayah telah merebak seperti virus epidemis dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja kita. Tegasnya, akhlak moral masyarakat kita terutamanya golongan remaja akan runtuh dan terus sirna seakan ditelan zaman jika gejala jenayah ini tidak ditangani dengan segera.



   Akhir sekali, masyarakat kita akan terus mundur dan tidak akan maju sekiranya gejala jenayah di negara kita tidak ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa. Gejala-gejala jenayah yang semakin berleluasa hanya akan menjadi penyekat kepada pembangunan masyarakat kita. Contohnya, pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berpuluh-puluh juta untuk membaiki kemudahan-kemudahan awam yang dirosakkan oleh pelaku-pelaku yang tidak bertanggungjawab walhal seharusnya dana tersebut boleh digunakan untuk menaik taraf infrastruktur negara. Gejala jenayah lain seperti gejala rasuah yang dilakukan oleh individu-individu yang kononnya bergelar pemimpin masyarakat telah membuatkan masyarakat hidup dalam kesengsaraan dan kedhaifan kerana mereka tidak mendapat hak yang seharusnya milik mereka. Keadaan ini telah menyukarkan masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing akibat perbuatan tidak bermoral individu-individu tertentu ini. Bukan itu sahaja, ekonomi negara juga merudum jatuh sekiranya gejala jenayah tidak ditangani dengan segera kerana pelabur-pelabur akan beralih tempat ke negara lain yang lebih aman dan sentosa berbanding negara kita. Perkara ini akan membawa kepada inflasi negara dan akhirnya masyarakat terpaksa bekerja lebih keras untuk mendapatkan wang tampungan hidup keluarga bak kata peribahasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Oleh itu, sesungguhnya masyarakat tidak akan maju jika pihak yang bertanggungjawab membiarkan gejala jenayah ini berleluasa tanpa titik noktahnya.



   Berdasarkan huraian-huraian diatas, terbuktilah bahawa banyak kemudaratan yang akan menimpa masyarakat kontemporari jika gejala jenayah tidak ditangani dengan segera. Gejala jenyah yang semakin berleluasa mengundang keresahan dalam masyarakat kita kerana konsekuensinya bukan sahaja kepada masyarakat kini, namun juga kepada generasi yang akan datang kelak. Kesimpulannya, pihak bertanggungjawab seharusnya mengambil langkah proaktif dalam membendung kemelut jenayah ini sebelum menjadi barah dalam kehidupan masyarakat kita. Kita sebagai anggota masyarakat juga sewajarnya membantu pihak berkuasa dalam menangani masalah ini dengan melaporkan segala bentuk jenayah yang berlaku dengan segera untuk mengelakkan masalah yang lebih besar. Marilah kita semua berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam prakarsa membendung gejala jenayah dalam masyarakat kita. Janganlah kita menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan melepaskan tangan begitu sahaja dalam perihal ini kerana kita sebagai manusia yang hidup dalam suatu komuniti mestilah menjaga kemaslahatan masing-masing agar kita dapat hidup dalam keharmoniaan dan keamanan. Sekiranya semua orang memandang enteng gejala jenayah dengan sebelah mata, tidak takutkah kita bahawa kita atau keluarga tersayang kita sendiri akan menjadi mangsa jenayah yang seterusnya? Oleh itu, tepuk dada, tanyalah selera. Gejala jenayah ini tentunya dapat diletakkan titik noktah jika semua anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam menyekat aktiviti gejala jenayah dalam masyarakat kita.



-          Hebatalla Kamaluddin , Khamis ,23 Oktober 2019  , 1237 patah perkataan





Image result for book coffee pinterest
(credit to the rightful owner @ pinterest)
Post Comment
Post a Comment

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature