DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!
Isu: Alam Pekerjaan
Kata Kunci: Huraikan
persediaan
Sasaran: Sebagai seorang
murid
Format: Pendapat (Bahagian B)
PERSEDIAAN UNTUK MENEMPUH ALAM
PEKERJAAN
Setiap murid tentu
mempunyai cita-cita tersendiri. Sejak dari usia dini lagi, guru-guru dan
ibu bapa sering melontarkan pertanyaan mengenai cita-cita yang ingin dikecapi
oleh murid-murid. Pada zaman dahulu, orang-orang berfikiran jumud dan
hanya mengkategorikan pekerjaan kepada 3 jenis iaitu bidang profesion
berpendidikan seperti guru dan doktor, bidang perniagaan seperti usahawan dan
bidang pekerjaan tradisional seperti petani dan penternak. Namun pada zaman kontemporari
ini, semakin luas alam pekerjaan kerana dengan beredarnya zaman, muncullah
pekerjaan-pekerjaan baharu yang memerlukan pelbagai kemahiran dan kepakaran. Richard
Brinsley Sheridan, tokoh kesusasteraan Inggeris yang masyhur pernah mengatakan
bahawa nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan
bukannya usia. Pernyataan beliau membuktikan bahawa betapa vitalnya
pekerjaan seseorang kerana pekerjaan itulah yang menjadi identiti dan cerminan
kepada kehidupan individu. Setiap insan perlulah memilih pekerjaan yang tepat
untuk dirinya kerana pada dasarnya, pekerjaan mementukan taraf hidup dan gaya
hidup seseorang individu. Oleh itu, apakah persediaan-persediaan bagi seseorang
murid untuk menempuh alam pekerjaan?
Persediaan yang
utama untuk menempuh alam pekerjaan ialah seseorang murid memerlukan kelayakan
akademik yang tertinggi. Tahap akademik yang diperlukan berbeza-beza
berdasarkan pekerjaan tertentu. Tamsilnya, seseorang murid perlulah
mendapatkan gelaran Ph.D untuk menjadi seorang pensyarah. Manakala, seseorang
itu cukup mendapatkan ijazah dalam bidang yang dikhususkan untuk menjadi
seorang akauntan. Kelayakan akademik ini sebagai suatu kayu ukuran dalam proses
pengrekrutan dan pemilihan pekerja kerana kelayakan tersebut menjadi
bukti pemahaman individu yang mendalam dan khusus dalam bidang yang berkaitan
dengan sesuatu pekerjaan. Murid-murid perlulah teliti dan prihatin mengenai
bidang yang perlu diceburi sebagai langkah utama menuju ke kerjaya yang diidam-idamkan.
Sebagai contohnya, murid yang mahu menjadi seorang doktor, jururawat, dan ahli
farmasi mestilah memilih aliran sains dan murid yang ingin menjadi seorang
peguam dan hakim haruslah memilih aliran kesusasteraan di sekolah. Hal ini amat
vital agar pengangguran yang hanya disebabkan oleh tahap akademik yang
tidak mencapai kriteria tertentu ketika melamar sesuatu
pekerjaan. Tegasnya, kelayakan akademik menjadi prasyarat bagi murid
membuat persediaan untuk menempuh alam pekerjaan.
Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, seseorang murid
mestilah memantapkan kemahiran berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi amat
diperlukan bagi seseorang pekerja yang bekerja dalam kalangan majmuk
kerana dalam berkomunikasi, seseorang itu mestilah mempunyai etika dalam
pertuturan kata dan mampu menyampaikan sesuatu mesej dengan jelas dan lengkap
kepada orang lain. Hal ini penting agar tidak berlaku percanggahan dan adu
mulut antara rakan sekerja dan meningkatkan lagi produktiviti sesuatu
pekerjaan melalui pertukaran pendapat dan arahan yang cekap. Jika seseorang
mempunyai kemahiran berkomunikasi yang sangat lemah, bagaimanakah dia hendak
berurusan dengan rakan sekerja, majikan, klien dan pelabur? Orang-orang tua
dahulu selalu mengatakan kerana mulut badan binasa. Kepercayaan seseorang itu
diperoleh melalui pembicaraan dan pertuturan kata. Tuntasnya, kemahiran
berkomunikasi merupakan salah satu kemahiran insaniah yang perlu ada
dalam diri murid-murid sebagai persediaan untuk menempuh alam pekerjaan.
Seperkara lagi, murid-murid
mestilah mempertimbangkan prospek pekerjaan yang hendak diceburi. Mereka
mestilah mengintrospeksi diri dan mempunyai matlamat yang jelas
berkenaan haluan masa depan yang mahu dipilih. Sebagai contohnya, jika
seseorang meminati lukisan dan mempunyai imaginasi yang sangat tinggi dan luas,
dia sewajarnya memilih untuk menjadi seorang arkitek. Sejak kecil lagi,
kebanyakan ibu bapa memaksa anak-anak untuk menjadi seorang doktor walaupaun
kecenderungan dan minat anak-anak terletak pada bidang yang lain. Waima karier
sebagai seorang doktor terletak pada hierarki tertinggi dalam bidang
pekerjaan akademik dan menjanjikan gaji yang lumayan, namun segalanya akan
menjadi sia-sia jika seseorang itu tidak mempunyai minat untuk menjadi seorang
doktor. Ray Kroc, pengasas rangkaian francais McDonalds pernah mengatakan
bahawa jika seseorang bekerja semata-mata untuk wang, dia tidak akan menjadi
kaya kerananya, dan jika seseorang mencintai pekerjaan yang dilakukan, kejayaan
akan menjadi miliknya. Sesungguhnya,
seseorang murid mestilah memilih pekerjaan berdasarkan minat dan kemahiran
mereka, bukannya berdasarkan gaji dan populariti sesuatu pekerjaan semata-mata
kerana haluan masa depan mereka ditentukan oleh nafsi mereka sendiri.
Seterusnya,
murid-murid perlulah mempunyai ketahanan fizikal dan mental bagi menhadapi alam
pekerjaan. Jika seseorang pelajar secara lazimnya mendapat stres dan depresi
kerana pelajaran, seseorang pekerja pula akan stres kerana pekerjaannya. Hal
ini dikatakan demikian kerana seseorang pekerja perlu memberikan komitmen dan
usaha maksimum dalam membuahkan hasil pekerjaan yang berkualiti. Lebih-lebih
lagi, dunia sedang pantas mengalami pemodenan dan Revolusi Perindustrian 4.0
melonjakkan tuntutan tenaga kerja yang berkualiti. Dunia kontemporari
memerlukan pekerja yang cerdik, cekal dan kreatif serta mempunyai kecekalan
sukma bagi menghadapi segala cabaran dan halangan dalam menyelesaikan sesuatu
pekerjaan. Pekerja yang tidak proaktif dan pasif hanya akan mencacamerbakan dan
membantutkan kualiti produktiviti sesuatu pekerjaan. Murid-murid perlulah
melatih diri supaya berdisiplin , tidak mudah berputus asa dan mampu menahan
segala rintangan dalam mengorak langkah menggapai kejayaan supaya mereka dapat
bersedia untuk melangkah ke alam pekerjaan yang jauh lebih mencabar. Anak-anak
berdarah muda ini perlulah mencontohi Abraham Lincoln yang pernah mengalama
13 kegagalan besar dalam bidang politik sebelum akhirnya beliau dipilih menjadi
Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 ketika berusia 51 tahun. Sesungguhnya,
seseorang murid perlulah mempersiapkan fizikal dan mental mereka dengan mantap
agar dapat menempuh alam pekerjaan kelak.
Akhir sekali, murid
perlulah bijak membahagikan masa mereka dengan sebaik mungkin. Ketika
murid-murid masih berada di bangku sekolah, mereka terikat dengan jadual
pembelajaran disekolah dan mempunyai komitmen yang sedikit kerana segala
keperluan hidup masih ditampung oleh ibu bapa. Namun dalam alam
pekerjaan, setiap individu perlu berdikari dan perlu mengkhawatirkan pelbagai
perkara sebagai seorang dewasa yang mandiri. Murid-murid perlulah bijak
membahagikan masa sejak kecil lagi dengan menjadikan tugasan yang diberikan
oleh guru sebagai prioriti. Kesannya, mereka akan menjadi pekerja yang dapat
menyiapkan pekerjaan dengan tangkas dan cepat seterusnya meningkatkan
produktiviti dan kualiti hasil pekerjaan. Jika seseorang itu sering
menangguhkan kerjanya, kerja yang pada mulanya hanya sedikit akan menjadi
banyak dan akhirnya memberikan tekanan kepada individu itu sendiri. Pepatah
Arab ada menyatakan bahawa waktu itu bagaikan pedang, jika kamu tidak
memotongnya, nescaya pedang itu akan memotongmu. Masa luang ialah suatu
nikmat yang perlu kita gunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Jelaslah
bahawa kemahiran individu dalam menguruskan masa amat penting bagi memastikan
kelancaran pekerjaan seseorang pekerja.
Berdasarkan
huraian-huraian tentang persediaan murid untuk menempuh alam pekerjaan,
izharlah bahawa murid-murid perlulah melakukan persediaan yang mantap sebelum
melangkah ke alam pekerjaan yang juga dilihat sebagai fasa hidup dewasa yang
baru. Untuk menjadi seorang pekerja yang berwawasan dan berkemahiran secara holistik,
seseorang murid perlulah memulakan persediaan awal sejak dari bangku sekolah
lagi. Murid-murid perlulah berusaha mengintrospeksi diri dan
mengembangkan kebolehan dalam pelbagai aspek kemahiran sebagai fundamental
persediaan melangkah ke alam pekerjaan kerana yang bulat tidak akan datang
bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang dan hendak seribu daya, tak
hendak seribu dalih. Sehubungan itu, masyarakat khususnya individu perlulah
berganding bahu dalam melahirkan insan-insan yang berkemahiran dan sigap
dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan kerana insan-insan tersebutlah yang akan
menjadi peneraju negara kita kelak. Marilah kita bersama-sama mengerah keringat
dalam memulakan sederap langkah bagi memastikan anak-anak watan
kita berjaya menjadi pekerja yang terbaik sama ada mereka menjadi pekerja
berkolar putih, biru, mahupun merah jambu. Sebagai kesimpulannya, seorang murid
perlulah melakukan pelbagai persediaan yang lengkap dari pelbagai aspek dan meluaskan
horizon pemikiran mereka mengenai pekerjaan-pekerjaan yang dapat diceburi
agar mereka dapat menjadi pekerja yang dapat menyumbangkan kemajuan kepada
diri, masyarakat dan negara.
-Hebatallah Kamaluddin, 5 KAA (20 Mac 2019) (1178 patah
perkataan)
Rujukan:
Sangat kias ayatnya, terima kasih atas pertolongan dalam menolong saya membuat rujukan. :)
ReplyDeleteSama-sama :) selamat menulis!
Deletehebat
ReplyDeleteterima kasih atas perkongsian!
ReplyDeletehebat
ReplyDelete