Top Social

KARANGAN SPM - Langkah-langkah Untuk Mengatasi Masalah Kemalangan Jalan Raya di Negara Kita

11 Dec 2019



DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!




Isu: Masalah kemalangan jalan raya di negara kita
Kata kunci: Langkah-langkah
Subjek: Umum
Tunjang: Isu kemalangan jalan raya sering menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat



LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH KEMALANGAN JALAN RAYA DI NEGARA KITA


Marcapada ini, isu kemalangan jalan raya acap kali menghiasi dada akhbar surat khabar tempatan kita hingga akhirnya menimbulkan kegusaran dalam masyarakat kita. Fenomena ini kian kritikal apabila semakin banyak kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan berlaku di negara kita seiring berjalannya waktu. Menurut statistik terkini, 281 527 kes kemalangan jalan raya telah dilaporkan dalam enam bulan pertama pada tahun ini, Begitu banyak nyawa yang tidak bersalah telah terkorban dek kecuaian dan kealpaan pemandu-pemandu yang tidak berhemah ketika memandu. Pada zaman nenek moyang kita, kemalangan yang berlaku ketika bertransportasi jarang sekali berlaku kerana mereka hanya bergerak menggunakan 2 pasang kaki mereka ataupun dengan menaiki basikal tanpa perlu bergantung kepada mesin automobil. Namun kini, di mana-mana sahaja kita boleh melihat mesin raksasa ataupun kenderaan-kenderaan yang menyusur di jalan raya. Waima penciptaan kenderaan telah menjadi suatu titik kemajuan pengangkutan masyarakat, namun di sisi buruknya, banyak nyawa nirmala yang terkorban tidak kira manusia ataupun haiwan. Masyarakat kita telah digemparkan dengan berita kemalangan jalan raya fatal yang melibatkan sebuah lori besar dan empat buah kenderaan di Lebuhraya Kuala-Lumpur Seremban yang berlaku pada 25 September 2019 yang lalu. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah menzahirkan kekesalannya terhadap isu kemalangan jalan raya yang terus sahaja berlaku seperti tiada penghujungnya. Isu kemalangan jalan raya inilah yang menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat kita kerana kemalangan ini boleh menimpa sesiapa sahaja kerana malang tidak berbau. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh diusahakan untuk mengatasi masalah kemalangan jalan raya di negara kita agar tiada lagi insan yang terkorban dalam bencana fatal ini? Tepuk dada tanyalah selera.



   Usaha utama yang perlu diimplementasikan ialah pihak kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada para pemandu di seluruh Malaysia. Sikap mazmumah para pemandu yang tidak berhemah ketika memandu dengan sering melanggar had laju yang ditetapkan serta memotong kenderaan secara semborono menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat. Penguatkuasaan undang-undang yang ketat adalah amat vital kerana para pemandu akan lebih peka untuk tidak memandu secara melulu dan agresif tanpa memikirkan keselamatan pemandu-pemandu lain di jalan raya. Negara jiran kita, Singapura telah berjaya menurunkan kadar kematian di jalan raya dengan begitu drastik iaitu cuma terdapat 4 kematian dalam setiap 100,000 penduduk kerana penguatkuasaan undang-undang jalan raya mereka yang begitu tegas. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) perlulah memastikan pemandu-pemandu mengikut semua peraturan di jalan raya dengan mengenakan saman dan denda yang tinggi kepada golongan yang masih berdegil kepala untuk melakukan yang sebaliknya. Dengan perkembangan penggunaan teknologi terkini, pihak kerajaan perlulah memperbanyak pemasangan kamera perangkap kelajuan di jalan raya agar pemandu-pemandu akan akur dengan had kelajuan 110km/h yang digariskan oleh pihak kerajaan. Pemasangan kamera perangkap kelajuan bukan sahaja memudahkan penangkapan pemandu yang bersalah, tetapi juga meringankan beban pihak polis seperti kata peribahasa sambil menyelam minum air. Pemandu-pemandu secara automatiknya akan berasa takut untuk melanggar undang-undang yang ditetapkan kerana denda yang akan dikenakan bukanlah dengan jumlah yang sedikit. Tegasnya, penguatkuasaan undang-undang oleh pihak kerajaan dapat mengatasi kemalangan jalan raya di negara kita di samping mendisiplinkan pemandu-pemandu di negara kita.



   Melihat dari perspektif yang lain, ibu bapa memegang obligasi yang amat signifikan dalam usaha mengatasi masalah kemalangan jalan raya di negara kita. Anak-anak pada zahirnya merupakan cermin kepada perilaku ibu bapa mereka sendiri. Rata-rata, pemandu memandu secara tidak berhemah di jalan raya kerana mencontohi gaya ibu bapa mereka memandu di jalan raya bak kata peribahasa bapa borek, anak rintik. Dalam konteks ini, ibu bapa sewajarnya memberi khudwah hasanah kepada anak-anak ketika memandu di jalan raya agar mereka dapat mencontohinya kelak. Sebagai tamsilnya, ibu bapa perlulah sentiasa bertolak ansur dengan mengenepikan sifat mementingkan diri sendiri ketika memandu kenderaan di jalan raya. Jika ibu bapa bersikap acuh tak acuh dengan memandu ikut suka hati mereka, nescaya anak-anak juga akan menjadi dua kali lima sahaja apabila memandu di jalan raya. Nilai-nilai murni dan etika memandu perlulah diterapkan sejak mereka kecil lagi agar mereka sedar betapa bahayanya konsekuensi yang akan dihadapi oleh mereka jika mereka tidak mengikuti garis undang-undang jalan raya yang telahpun diimplementasikan oleh pihak kerajaan. Adapun ketika anak-anak baru sahaja memperoleh lesen memandu, ibu bapa sewajarnya terus menantau anak-anak ketika memandu kerana statistik menunjukkan bahawa kebanyakan pemandu yang tidak berhemah terdiri dari golongan muda yang baru sahaja ingin menunjukkan taringnya di jalan raya. Buktinya, seorang murid sekolah berumur 13 tahun dilaporkan maut digilis sebuah lori ketika membonceng motosikal bersama rakannya beberapa hari lalu. Berita yang menyayat hati ini berlaku dek kecuaian ibu bapa dalam memberikan didikan keselamatan jalan raya dengan memberikan kebebasan penuh kepada anaknya untuk berkenderaan walaupun belum sampai usianya lagi. Iktibar perlulah diambil oleh ibu bapa dari kejadian ini kerana tiada ibu bapa pun yang mahu kehilangan anaknya akibat kecuaian mereka sendiri. Sesungguhnya, ibu bapa memainkan peranan utama dalam mentarbiah anak-anak untuk menjadi pemandu sejati di jalan raya kerana anak-anak bagaikan kain putih nirmala dan ibu bapalah yang mencorakkannya dengan khudwah khasanah yang mahmudah agar mereka membesar menjadi insan yang patuh akan semua peraturan negara.



Dalam nada yang lain, pihak kerajaan haruslah membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Kita sudah banyak kali mendengar laporan kes-kes kemalangan jalan raya akibat struktur jalan raya yang rosak dan berbahaya sehingga mengorbankan nyawa pemandu-pemandu yang melalui jalan tersebut. Tamsilnya, jalan lebuhraya menuju ke Klang acap kali mengalami kerosakan akibat kenderaan-kenderaan berat yang mengangkut barang-barang perdagangan serta bahan-bahan pembinaan menjadikan jalan raya melendur dan bitumen jalan tersebut tercabut. Keadaan ini menjadikan rekahan jalan yang bermula dari keretakan kecil di kiri dan kanan yang akhirnya menjadikan jalan tersebut berlubang. Lebih-lebih lagi lebuhraya tersebut menjadi laluan alternatif kebanyakan pemandu yang ingin menuju ke Klang, kepadatan kenderaan yang melalui jalan tersebut menyumbang kerosakan jalan raya persis peribahasa inggeris menambahkan garam ke luka yang bermaksud memburukkan lagi keadaan yang sedia buruk. Pihak kerajaan sepatutnya sigap dalam mengambil tindakan awal dengan menurap kembali jalan tersebut dengan giat kerana jika gagal diselenggarakan, lebih banyak kemalangan yang tidak diingini akan berlaku. Berdasarkan statistik bajet 2015, kerajaan telah memperuntukkan 600 hingga 800 juta khusus untuk penyelenggaraan jalan raya di negara kita. Waima peruntukkan tersebut telah berkurang kepada 500 juta akibat inflasi ekonomi negara, pihak-pihak yang bertanggungjawan ke atas penyelenggaraan jalan raya seharusnya menggunakan bajet itu sepenuhnya bagi membaik pulih struktur jalan-jalan raya di negara kita. Bagi kawasan negeri-negeri, jalan-jalan raya diwartakan dibawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) manakala jalan-jalan persekutuan pula diwartakan di bawah Sistem Jalan Persekutuan Malaysia (MARRIS). Pihak-pihak ini yang seharusnya memastikan jalan-jalan raya di seluruh Malaysia selamat digunakan oleh pemandu-pemandu kerana isu kemalangan jalan rayalah yang selalu menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, pihak kerajaan memainkan peranan yang primer dalam memastikan keadaan jalan raya yang selamat bagi penggunaan masyarakat agar tidak berlaku kemalangan disebabkan struktur jalan raya yang buruk.



    Akhir sekali, kempen-kempen kesedaran keselamatan jalan raya perlulah giat diadakan oleh pihak kerajaan bagi semua golongan masyarakat. Pihak Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya merupakan pihak yang sering kali diberikan amanah dalam melaksanakan kempen kesedaran jalan raya. Melalui kempen ini, pihak yang bertanggungjawab perlulah menyebarkan konsekuensi-konsekuensi fatal yang boleh terjadi kepada pemandu apabila tidak berhati-hati ketika memandu. Objektif utama kempen-kempen ini dijalankan adalah untuk menyuntik kesedaran dalam diri pemandu-pemandu dan penumpang-penumpang agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi segala peraturan di jalan raya ketika berkenderaan. Pihak kerajaan boleh menyebarkan kempen ini melalui media massa dan media sosial yang menjadi medium terpantas dalam penyaluran maklumat pada masa kini. Inisiatif ini akan mampu meminimumkan kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita kerana masyarakat telahpun sedar mengenai bahaya memandu tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pemandu di sekitarnya. Langkah ini amat signifikan bagi menangani isu yang kian membarah sehingga menjadi fokus perbincangan masyarakat kita. Kempen-kempen ini seharusnya diadakan secara berterusan dan bukannya sekedar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batuk di tangga. Jika hanya sebelah pihak sahaja yang beria-ria dalam penganjuran kempen ini, tentulah usaha untuk menyedarkan masyarakat mengenai keselamatan jalan raya hanya akan menjadi seperti mencurah air ke daun keladi. Masyarakat perlulah digalakkan dan diseru agar menjayakan kempen keselamatan jalan raya agar tiada lagi individu keras kepala yang hanya mementingkan diri sendiri ketika memandu di jalan raya yang akhirnya membahayakan nyawa orang lain juga. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan seharusnya giat menjalankan kempen kesedaran keselamatan jalan raya agar dapat mendidik masyarakat menjadi pemandu yang beretika dan berdisiplin di jalan raya.



   Berdasarkan huraian-huraian diatas, terbuktilah bahawa banyak langkah yang boleh diusahakan untuk mengatasi kemalangan jalan raya di negara kita. Isu kemalangan jalan raya yang menjadi fokus perbincangan masyarakat di negara kita tidak boleh diambil enteng oleh semua pihak kerana isu ini melibatkan nyawa-nyawa insan yang berharga di negara kita. Kesimpulannya, semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing dalam membendung isu kemalangan jalan raya agar tiada lagi insan yang tidak bersalah menjadi korban kecuaian dan mangsa keadaan jalan raya rosak yang seharusnya dapat diperbaiki jika semua pihak mengambil berat terhadap masalah ini. Marilah kita semua sama-sama berganding bahu memulakan langkah pertama dalam usaha mengatasi masalah ini kerana ahli falsafah yang masyhur, Lao Tzu mengatakan bahawa langkah pertamalah yang akan memungkinkan perjalanan berjauh-jauh batu menuju kejayaan. Janganlah kita menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hanya kerana ketamakan dan sikap nafsi yang hanya akan membawa padah kepada masyarakat sekeliling. Kita sebagai rakyat mestilah menggembleng tenaga untuk bersatu padu membantu pihak kerajaan dalam usaha menjadikan jalan raya selamat dan boleh diakses oleh semua orang. Sekiranya isu ini diambil berat oleh semua pihak, tentulah kadar kemalangan jalan raya akan rendah seterusnya menaikkan imej negara di mata dunia. Oleh itu, berhati-hatilah ketika memandu, cegah sebelum parah kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.



(Hebatalla Kamaluddin, 5 KAA)
4/10/2019 , 5:34 pagi, 1577 patah perkataan



Image result for book coffee pinterest
(credit to the rightful owner @ pinterest)

Post Comment
Post a Comment

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature