Top Social

KARANGAN SPM - Langkah-langkah Menjaga Keselamatan Anak-anak

9 Dec 2019

DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!




Isu: Keselamatan Kanak-kanak
Kata Kunci: Langkah-langkah menjaga
Sasaran: Umum
Format: Pendapat (bahagian A)


LANGKAH-LANGKAH MENJAGA KESELAMATAN ANAK-ANAK

  Sedawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat di segenap empat penjuru dunia mengenai isu penculikan kanak-kanak. Semakin hari, semakin bertambah laporan kes penculikan kanak-kanak yang terpampang di muka akhbar. Perkara ini telah semakin mendapat perhatian masyarakat dan menggusarkan hati ibu bapa. Pada zaman dahulu, anak-anak bebas bermain dan menjelajah dunia luar tanpa pantauan kerap oleh ibu bapa. Namun kini, dunia keseronokan kanak-kanak terbatas dengan berlegarnya haiwan buas bertopengkan manusia yang sentiasa menunggu peluang untuk menculik insan yang tidak bersalah. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menjaga keselamatan anak-anak?



    Ibu bapa memainkan prakarsa yang signifikan dalam memastikan keselamatan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa peka dan mengawasi anak-anak terutamanya ketika beraa di tempat awam. Kebanyakan kes penculikan berlaku di tempat awam seperti di pusat membeli belah kerana ibu bapa asyik berbelanja sehingga melupakan keberadaan anak mereka.  Kecuaian dan kelalaian ibu bapa menjadi faktor dominan penculikan anak-anak. Ibu bapa tidak boleh meninggalkan anak-anak mereka bersendirian di tempat awam seperti taman permainan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Tegasnya, janganlah ibu bapa mengabaikan keselamatan mereka dan hanya menyesalinya apabila perkara buruk berlaku kepada anak-anak mereka kerana nasi sudah menjadi bubur.



    Seterusnya, anak-anak perlulah dinasihati untuk sentiasa berada dalam kumpulan jika mahu kemana-mana tanpa ditemani ibu bapa untuk mengelakkan penculikan. Tamsilnya, jika seorang anak mahu bermain di taman permainan, dia perlulah ditemani oleh kawan-kawannya. Hal ini kerana penculik biasanya hanya menculik anak-anak yang sedang bersendirian supaya tiada saksi kejadian. Jika terdapat kejadian yang buruk, kawan-kawannya boleh memberikan bantuan dan melaporkannya kepada orang dewasa. Mereka juga perlu dinasihati agar tidak terpengaruh dengan ajakan dan pemberian gula-gula oleh orang yang tidak dikenali kerana taktik inilah yang paling sering diguna pakai oleh penculik kerana anak-anak kebiasaannya lurus dan mudah dipengaruhi. Oleh itu, izharlah bahawa anak-anak perlu sentiasa berada dalam kumpulan agar keselamatan mereka lebih terjamin.



   Akhir sekali, kanak-kanak perlulah dibekalkan dengan asas ilmu pertahanan diri. Perkara ini amat vital supaya mereka dapat melindungi diri apabila hendak diculik ketika ketiadaan orang dewasa untuk membantunya. Ibu bapa disarankan agar menghantar mereka ke pusat latihan pertahanan diri seperti taekwando, silat dan silambam. Hal ini kerana anak-anak pada zahirnya lemah dan kecil yang menjadikan mereka target utama penculik kerana mudah diculik. Namun, jika seseorang kanak-kanak mempunyai ilmu pertahanan diri, dia dapat menyelamatkan diri sendiri daripada menjadi mangsa penculikan dan perdagangan kanak-kanak. Sesungguhnya, ilmu pertahanan diri perlu diterapkan dalam diri anak-anak sebagai perlindungan daripada penculikan.



    Konklusinya, keselamatan anak-anak perlulah menjadi prioriti kita semua. Hal ini kerana anak-anak ini baru ingin memulakan perjalanan hidup mereka dan akan menjadi pelapis bangsa negara kita. Masalah ini tidak boleh dipandang enteng dan dikendalikan seperti melepaskan batuk di tangga. Semua pihak berganding bahu dan tidak menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sudah menjadi tanggungjawab kepada setiap individu untuk memastikan keselamatan masyarakat kita. Kita perlulah mewujudkan masyarakat yang selamat dan kondusif agar anak-anak bangsa boleh tumbuh membesar menjadi insan yang berwawasan. Janganlah kita membiarkan masalah ini berlarutan dan menular seperti virus epidemik yang hanya akan mengorbankan lebih banyak nyawa anak-anak yang suci dan nirmala.



(hebatallah kamaluddin, 5 Kaa, 25 Mac 2019)
-          520 patah perkataan)


Image result for bookstagram pinterest
(credit from pinterest)
Post Comment
Post a Comment

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature