DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!
Isu :
Memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang
Kata kunci :
Cara
Subjek :
Murid
Tunjang :
Penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang perlu diberikan perhatian oleh murid. Hal
ini dikatakan demikian kerana ilmu pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang
CARA
MURID MEMPEROLEH ILMU DALAM PELBAGAI BIDANG
Ilmu
pelita hidup. Itulah kata-kata azimat yang menjadi patut menjadi pedoman
hidup semua insan yang bernyawa di muka bumi yang bertuah ini. Ilmu
pengetahuan sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi merupakan asas kepada
pembentukan peribadi individu terutamanya bagi murid-murid yang masih dalam
proses mengenali dunia ini. Pada zaman dahulu, ilmu pengetahuan menjadi nadi
pembangunan tamadun-tamadun emas dunia seperti Zaman Kegemilangan Islam ketika pemerintahan
Khalifah Harul al-Rasyid dan al-Makmun di mana Baitulhikmah, sebuah
institusi keilmuwan yang terletak di Bahgdad telah melahirkan tokoh-tokoh
intelektual Islam seperti Ibnu Sina, Al Khawarizmi dan Abu Manshur al-Falaky
yang telah menjadi pelopor kepada perkembangan ilmu pengetahuan
dunia. Semua masyarakat terdahulu berlumba-lumba demi mendapatkan ilmu
pengetahuan sehingga sanggup meninggalkan keluarga, kampung halaman dan
hartanya demi berhijrah ke tempat lain demi mendapatkan ilmu pengetahuan kerana
darjat seseorang yang berilmu pengetahuan begitu tinggi di sisi masyarakat.
Namun ironisnya, masyarakat yang kononnya kontemporari terutama anak-anak
berdarah muda memandang ilmu pengetahuan dengan sebelah mata dan
lebih cenderung untuk menjadi hamba kepada kebendaan dunia. Menteri
Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik menzahirkan kekhawatirannya apabila
jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan
matematik (STEM) semakin merosot saban tahun akibat kurangnya minat murid-murid
dalam bidang-bidang tersebut. Walhal, sewajarnya murid-murid berusaha
sedaya upaya dalam menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang bakal
menjamin kejayaan mereka dalam kehidupan. Murid-murid seharusnya mengambil
langkah proaktif untuk menguasai bidang-bidang ilmu yang bervariasi
meliputi bidang teknologi, ekonomi dan kemasyarakatan supaya mereka menjadi
insan yang dinamik dan berkebolehan. Persoalannya, apakah cara-cara yang
boleh dilakukan oleh murid-murid untuk memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang supaya
mereka dapat menjadi seorang yang berpengetahuan luas? Tepuk data tanyalah
selera.
Salah satu
cara murid memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang ialah melalui penggunaan media
sosial. Sudah menjadi sebuah esensi bahawa majoriti masyarakat mempunyai
akaun media sosial masing-masing terutamanya bagi remaja yang berumur
sekurang-kurangnya 13 tahun. Melalui media sosial, murid-murid dapat mencari
maklumat tambahan mengenai apa-apa sahaja yang ingin diketahuinya seperti
melalui aplikasi Instagram, Facebook dan Twitter. Pada zaman moden ini, ilmu
pengetahuan amat mudah diperoleh kerana maklumat di hujung hari. Hampir semua
agensi dan badan tertentu telah mencipta laman sesawang ataupun akaun media
sosial bagi menyebarkan maklumat mengenai kepakaran mereka kepada semua orang.
Sebagai tamsilnya, Kementerian Kesihatan Malaysia telah
menggunakan media sosial seperti Twitter untuk menyebarkan info-info kesihatan
seperti bahaya merokok kerana maklumat di media sosial akan mudah sampai ke
pengetahuan orang lain seperti tersebarnya virus epidemik dalam sekelip
mata. Isu-isu semasa yang berlaku dalam negara mahupun luar negara juga amat
cepat tersebar di laman sosial sehingga membolehkan seseorang murid mempunyai
input-input terkini hanya melalui penggunaan media sosial secara bijak. Maka,
murid-murid dapat mengakses maklumat-maklumat tambahan yang tidak
dipelajari di sekolah agar dapat menguasai pelbagai bidang ilmu yang akan
menjamin kejayaan mereka. Murid-murid
sewajarnya bijak dalam menggunakan media sosial bagi memperoleh ilmu
pengetahuan yang akan memberikan kemaslahatan dalam hidup, bukannya
menggunakannya untuk perkara-perkara lagha yang hanya akan memberikan
kemudaratan kepada diri mereka sendiri. Jika mereka betul-betul memaksimumkan
penggunaan media sosial bagi membaca info-info ini, nescaya mereka tidak akan
menjadi seperti katak di bawah tempurung yang mundur dalam penerimaan ilmu
pengetahuan dunia. Tegasnya, murid-murid perlulah menggunakan media sosial
sebagai medium untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang luas agar mereka dapat
menguasai pelbagai bidang keilmuwan dunia yang akan membawa mereka kepada
kejayaan hidup.
Dalam nada
yang lain, murid-murid boleh menguasai ilmu pelbagai bidang melalui kunjungan
ke perpustakaan terdekat. Perpustakaan merupakan gedung buku-buku ilmiah yang
bernilai yang sepatutnya dibaca oleh murid-murid. Murid yang prihatin terhadap
ilmu dalam pelbagai bidang ialah murid yang tidak mensia-siakan masanya yang
bagaikan emas dengan sering mengunjungi perpustakaan bagi menelaah ilmu
pelbagai bidang. Perpustakaan seharusnya menjadi tempat yang sesak dengan
murid-murid yang mahu menimba ilmu, namun ironisnya, pusat membeli belah
dan kafe siber menjadi tumpuan utama murid-murid dalam menghabiskan masa lapang
mereka. Senario yang tidak asing ini menjadi bukti bahawa mereka mengambil enteng
kepada penguasaan ilmu pelbagai bidang. Mereka seyogianya memanfaatkan
perpustakaan sepenuhnya untuk membaca karya-karya agung nukilan penulis-penulis
tersohor agar kita mendapat ilmu-ilmu baharu yang berharga seperti buku-buku
nukilan Syed Muhammad Abduh, Abdul Latip Talib dan Hamka. Melalui
pembacaan buku, perspektif kita terhadap dunia akan berubah kerana
pembacaan buku memerlukan kita untuk berfikir secara kritis dan rasional.
Maka, ilmu-ilmu yang diperoleh daripada buku dapat kita terapkan bagi meguasai
pelbagai bidang kehidupan. Kemaslahatan membaca dapat dibuktikan dengan
turunnya wahyu pertama daripada Allah S.W.T melalui malaikat Jibril kepada
Rasulullah S.A.W yang memerintahkan baginda untuk membaca walaupun baginda
tidak tahu cara membaca. Peristiwa ini membuktikan bahawa melalui pembacaan,
murid-murid akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat kerana buku ialah nadi
kehidupan. Seorang penulis novel termasyhur di Amerika, Stephen King mengatakan
bahawa buku merupakan portal kepada dunia lain. Kenyataan ini bermaksud
melalui pembacaan buku, murid-murid boleh menjelajah dan menelusuri
bidang-bidang kehidupan lain tanpa perlu bergerak dan berhijrah ke
tempat-tempat yang jauh hanya untuk memperoleh ilmu. Sesungguhnya, murid-murid
akan dapat menguasai ilmu dalam pelbagai bidang jika mereka menjadikan
perpustakaan sebagai rumah kedua mereka kerana perpustakaan menyimpan
beribu-ribu karya agung yang boleh menjadikan seseorang murid itu kaya dengan
ilmu pengetahuan dunia.
Jika dilihat
dari perspektif lain, murid-murid juga boleh memperoleh ilmu dalam
pelbagai bidang melalui penglibatan dalam program-program yang dianjurkan oleh
pihak kerajaan ataupun pihak swasta. Acap kali program-program seperti
kempen-kempen dan pameran-pameran diadakan dengan objektif memberi input-input
baru kepada murid-murid kita. Tamsilnya, pihak sekolah sering mengadakan minggu
sejarah peringkat sekolah pada setiap tahun. Terdapat banyak aktiviti-aktiviti
yang dianjurkan seperti pameran artifak sejarah, tayangan video peperangan,
persembahan kebudayaan dan kuiz sejarah agar murid-murid melibatkan diri dalam
menjayakan minggu sejarah. Cara ini merupakan satu cara yang konvensional
kerana melalui penglibatan aktivit-aktiviti ini, murid-murid dapat menambahkan
ilmu pengetahun pelbagai bidang di samping mendapatkan keseronokan ketika
program ini berlangsung. Jika pun pihak
sekolah jarang menganjurkan program sebegini, murid-murid perlulah mencari
inisiatif dengan melibatkan diri dalam program-program yang dianjurkan oleh
pihak swasta atau komuniti sekitar. Beberapa agensi pelbagai bidang sering mengadakan pameran yang bervariasi
seperti pameran robotik ataupun pameran keusahawanan. Murid-murid perlulah sigap
dalam mengambil peluang untuk mengunjungi pameran-pameran tersebut agar mereka
mendapat ilmu pengetahuan yang lebih. Waima penglibatan dalam
program-program sebegini membutuhkan masa dan tenaga yang banyak memandangkan
murid sekolah sentiasa sibuk dengan tugasan-tugasan sekolah pada cuti sekolah,
namun input yang diperoleh akan sangat menguntungkan murid-murid kerana mereka
akan dapat menyegarkan akal fikiran mereka di samping memperoleh ilmu
pengetahuan baru yang luas seperti kata pepatah sambil menyelam minum air. Sudah
terang lagi bersuluh bahawa murid-murid perlulah giat melibatkan diri dalam
program-program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak yang bervariasi agar
mendapat ilmu-ilmu baru yang boleh digunakan dalam kehidupan mereka.
Akhir sekali,
murid-murid perlulah sentiasa meminta tunjuk ajar daripada ibu bapa dan
guru-guru mereka. Ibu bapa dan guru bagaikan aur dan tebing dalam melaksanakan obligasi
mereka dalam mendidik serta mentarbiah murid-murid dengan ilmu pengetahuan
dunia dan akhirat kerana merekalah insan yang telah banyak menempuh pahit manis
kehidupan dunia. Murid-murid perlulah bertindak secara proaktif dalam
menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan daripada ibu bapa dan guru-guru
mereka agar dapat menguasai pelbagai bidang ilmu. Tamsilnya, mereka perlulah
terus bertanyakan soalan mengenai tajuk pelajaran yang tidak difahami ketika
guru mengajar agar mereka mendapatkan pemafaham sepenuhnya terhadap mata
pelajaran yang di pelajari. Mereka juga boleh bertanya kepada ibu bapa mengenai
apa-apa sahaja dalam bidang kemahiran ibu bapa. Contohnya, jika ibu dan bapa
bekerja sebagai seorang jurutera dan ahli keusahawanan, anak-anak boleh
bertanya prospek bidang-bidang tersebut agar mereka dapat gambaran awal
mengenai bidang-bidang tersebut. Natijahnya, murid-murid akan penuh dengan ilmu
di dada kerana rajin bertanya kepada mereka yang arif bak kata peribahasa hanya
jauhari yang mengenal manikam. Sikap ini perlulah ada dalam diri anak-anak
kerana mereka yang malu bertanya akan tersesat jalan. Amalan sering berdamping
dengan guru-guru untuk menimba ilmu jauh lebih baik daripada mereka berpelesiran
di kaki-kaki lima tanpa hala tuju. Ajaran Islam turut menggalakkan
umatnya untuk sering berdamping dengan orang-orang soleh dan berilmu kerana sabda
Rasulullah S.A.W yang bermaksud mereka yang berteman dengan penjual minyak
wangi, tentulah dia juga akan mendapat wanginya. Oleh itu, murid-murid akan
dapat memperoleh ilmu pengetahuan yang luas dari segenap aspek jika sering
berdamping dengan guru-guru dan ibu bapa. Sesungguhnya, murid-murid mestilah
sigap dengan memanfaatkan waktu luang yang ada untuk meminta tunjuk ajar
daripada ibu bapa dan guru agar mereka dapat memperoleh bekalan ilmu yang
banyak daripada mereka dalam bidang yang bervariasi untuk kejayaan di
dunia dan akhirat.
Berdasarkan
huraian-huraian diatas, terbuktilah bahawa terdapat banyak cara yang boleh
dilakukan oleh murid-murid untuk memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang.
Murid-murid mestilah berfikiran jauh dengan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan
dalam pelbagai bidang sejak usia setahun jagung, darah setampuk pinang
kerana masa mudalah masa yang paling efektif untuk menimba sebanyak mana
ilmu pengetahuan kerana fizikal mereka yang masih kuat. Kesimpulannya,
murid-murid sendirilah yang patut menggerakkan diri mereka untuk menguasai ilmu
dalam pelbagai bidang seperti bidang teknologi, ekonomi, ICT dan politik agar
mereka dapat menggambarkan realiti kehidupan sebenar sebelum menginjakkan kaki
mereka ke alam dewasa. Ilmu-ilmu ini tidak akan menjadi seperti mencurahkan
air ke daun keladi kerana pada masa depan kelak, nescaya ilmu-ilmu ini
dapat diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Di samping itu, prestasi
kecemerlangan mereka akan melonjak naik dan mereka akan menjadi lebih
berwawasan kerana mempelajari ilmu pengetahuan yang luas. Oleh itu, bangkitlah
anak-anak dalam menimba ilmu pengetahuan yang amat berharga. Sesungguhnya ilmu
pengetahuanlah yang membolehkan kita hidup sebagai seorang manusia yang dapat
memberikan manfaat kepada orang lain. Murid-murid yang rajin menelaah
ilmu pengetahuan nescaya akan memperoleh kejayaan dalam hidup mereka. Hal ini
boleh dibuktikan apabila Imam Syafie sendiri yang berkata bahwa mereka yang
tidak sanggup menahan lelahnya belajar, maka mereka perlulah sanggup menanggung
keperitan kebodohannya. Kata-kata beliau perlulah dijadikan iktibar oleh
murid-murid sekalian agar mereka dapat menjalani hidup dengan penuh ilmu di
dada dan secara berhikmah. Maka, amaln menuntut ilmu perlulah diberi perhatian
oleh murid-murid agar mereka dapat membesar menjadi dewasa yang dinamik,
berkebolehan dan berwawasan dalam segenap aspek kehidupan.
-
Hebatalla
Kamaluddin, 1644 patah perkataan ( 5:56 pagi, 10 Oktober 2019)
Sumber:
(credit to the rightful owners @ pinterest)
tq
ReplyDeleteterima kasih atas perkongsian!
ReplyDelete