Top Social

KARANGAN SPM - Cara-cara Untuk Merapatkan Hubungan Kekeluargaan

9 Dec 2019
DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!  


AIR DICENCANG TIDAK AKAN PUTUS
Isu: Hubungan Kekeluargaan
Kata Kunci: Cara-cara
Sasaran: Umum
Format: Pendapat

CARA-CARA UNTUK MERAPATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN

“Rumahku syurgaku,”. Inilah kata-kata azimat yang menjadi dambaan semua insan dalam membina keluarga yang bahagia dan kukuh. Institusi keluarga yang kukuh merupakan banteng utama yang melindungi kita daripada anasir-anasir buruk yang menyumbang kepada kepincangan rumah tangga. Seiring berjalannya waktu, nilai-nilai kekeluargaan semakin terhakis dek ekoran gaya hidup moden yang ghaflah terhadap kewajiban kepada keluarga. Pada zaman dahulu, kehidupan sesebuah keluarga adalah sangat aman dan bahagia kerana setiap anggota keluarga  memainkan prakarsa masing-masing dalam mengekalkan hubungan kekeluargaan. Namun kini, keluaga tidak dijadikan proriti utama dan semangat kekeluargaan semakin sirna seiring berjalannya waktu. Profesor Di Raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan univeriti pertama bagi anak-anak professor pertama mereka ialah ibu bapa. Pernyataan ini menunjukkan betapa vitalnya pembangunan modal insan yang bermula dari rumah melalui hubungan kekeluargaan yang rapat bagaikan isi dengan kuku untuk membentuk sebuah institusi keluarga yang sakinah. Namun persoalannya, apakah cara-cara yang dapat dilakukan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan?

   Cara untuk merapatkan hubungan kekeluargaan yang paling ampuh adalah dengan meningkatkan kebersamaan ibu bapa dan anak-anak. Ibu bapa merupakan insan yang paling bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka dan memberi impak yang paling utama dalam hidup anak-anak. Mereka perlulah menjadikan anak-anak sebagai prioriti utama berbanding pekerjaan. Sikap ibu bapa yang bena tak bena terhadap keadaan anak-anak kerana ghaflah dan rakus mengejar fatamorgana dan kemewahan duniawi memberi dampak buruk terhadap anak-anak yang membawa kepada keretakan hubungan kekeluargaan. Anak-anak yang dibiarkan tanpa pemantauan dan curahan kasih sayang akan mula memberontak dan mudah terjerumus dalam kancah gejala sosial yang semakin menggusarkan hati masyarakat. Anak-anak yang masih kudus hatinya dan masih belum dapat membezakan yang mana batu dan yang mana permata perlulah ditarbiah secara hasanah oleh ibu bapa dari segi fizikal dan mental untuk membentuk peribadi mulia dalam sanubari anak-anak sejak usia dini lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Obligasi ini mestilah dijalankan oleh ibu bapa dengan bersungguh-sungguh supaya usaha tersebut tidak sia-sia seperti melempar garam ke laut. Menurut Islam, anak-anak diibaratkan seperti kain putih suci yang masih belum ternoda, ibu bapalah yang diberikan mandat untuk mencorakkannya. Jika ibu bapa tidak mengendahkan anak-anak mereka, meraka akan merasa terpinggir dan tidak disayangi seperti batu-batu yang terdampar di atas jalan tar. Mereka akan mula menjauhkan diri daripada ibu bapa dan membina benteng penghalang perasaan di dalam hati yang membuatkan hati mereka tertutup kepada ibu bapa. Perkara ini tidak akan berlaku jika ibu bapa memberikan perhatian sepenuhnya terhadap anak-anak. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan vital dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan daripada runtuh dek kebenaan ibu bapa.

   Sementalahan itu, aktiviti-aktiviti bersama keluarga mestilah dijalankan dengan lebih giat. Ibu bapa boleh mengambil kesempatan pada hari cuti umum untuk berlibur bersama anak-anak ke tempat-tempat yang menarik dalam dan luar negara. Hal ini bertujuan bagi merapatkan hubungan kekeluargaan di samping ahli keluarga dapat melepaskan stres dan melupakan seketika urusan hidup yang membelenggu fikiran dan mental selepas berkutat-katit tanpa henti untuk memastikan masa depan yang cerah. Hal ini bertepatan dengan Kempen Cuti-Cuti Malaysia yang telah dilancarkan oleh pihak kerajaan atas keprihatinan hubungan kekeluargaan rakyat yang juga menjadi tampuk utama dalam institusi kemasyarakatan. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersiar-siar ke tapak-tapak bersejarah di Malaysia serta ke tempat-tempat rekreasi yang mengasyikkan. Anak-anak akan berasa bahagia kerana dapat meluangkan masa yang berharga dengan orang yang paling disayangi dan dicintai. Aktiviti-aktiviti seperti sambutan hari jadi, makan bersama-sama serta hari keluarga perlulah dilakukan oleh setiap anggota keluarga bersama-sama.  Dalam aktiviti sukaneka keluarga pula, sikap bekerja sama persis peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni dapat disemat dalam hati masing-masing. Akan terwujudlah suatu koneksi antara ibu bapa dan anak-anak bagi mendapatkan kemenangan yang gemilang. Ringkasnya, aktiviti-aktiviti bersama keluarga akan menjadikan hubungan kekeluargaan semakin rapat dan memupuk semangat kerja sama dalam diri masing-masing.

   Dalam nada yang lain, nilai-nilai keagamaan wajib diterapkan dalam diri ahli-ahli keluarga. Ajaran agama dan moral merupakan elemen tervital dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan. Ilmu agama perlulah dimantapkan dalam diri anak-anak agar tidak mudah terpengaruh dengan godaan syaitan yang membawa kepada kebutaan mata dan hati. Tarbiah keagamaan ialah cara yang mapan untuk mengekalkan kasih sayang antara ahli keluarga kerna hati masing-masing menjadi lembut dan terbuka untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan sakinah persis yang dianjurkan oleh Islam untuk memelihara martabat keluarga. Dalam konteks ini juga, ibu bapa perlulah memperlihatkan khudwah hasanah dalam aktivit-aktiviti spiritual seperti beribadah secara berjemah. Ibu bapa juga boleh mengimplementasikan ibadah puasa sunat bersama-sama anak-anak supaya dapat memupuk nilai keagamaan dalam diri mereka. Dengan ini, anak-anak akan menjadi lebih akrab dengan ibu bapa dan istiqamah dalam melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan sunat. Keluarga yang taat akan perintah Allah S.W.T akan dianugerahkan  keberkatan dan ganjaran pahala demi bekalan timbangan mizan kelak. Keimanan dan ketakwaan anak-anak dapat mengikat hati mereka untuk menyayangi dan menghormati ahli keluarga. Dato’ Fadzilah Kamsah pernah menyatakan bahawa ibu bapa perlu menggalas obligasi dalam ikhtiar mencurahkan didikan agama dan moral yang secukupnya dalam diri anak-anak. Hal ini adalah sangat penting kerana sesorang yang mengabaikan ajaran agama diibaratkan sebagai kapal tanpa nakhoda yang hanya berlayar di lautan luas tanpa hala tuju yang jelas. Tuntasnya, penerapan nilai keagaamaan dalam diri anak-anak akan menjadikan hubungan antara anak-anak dan ibu bapa lebih kukuh dan diberkati Allah S.W.T.

    Menyingkap dari perspetif yang lain, sesi konsultansi dan usrah antara ibu bapa dan anak-anak perlulah diadakan dengan giat. Sering kali, anak-anak menyembunyikan masalah yang terpendam jauh di lubuk hati mereka daripada ibu bapa kerana mengira ibu bapa tidak akan dapat memberikan jalan penyelesaian yang berkesan. Namun begitu, ibu bapa ialah dewasa yang berfikiran rasional dan sudah melalui asam garam kehidupan. Mereka akan memberikan pendapat serta pandangan dari perspektif yang berbeza untuk membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang menggalaukan minda kerana setiap masalah tentu ada jalan penyelesaiannya. Melalui amalan  ini, anak-anak akan berasa lebih selesa untuk menjadi lebih terbuka terhadap ibu bapa.  Amalan saling menasihati antara ahli keluarga dapat disemai dalam diri masing-masing. Usrah ini tidak semestinya diisi dengan menanyakan masalah masing-masing, usrah ini boleh dijalankan secara santai bagi bergurau-senda dan menenangkan fikiran daripada kekalutan hidup. Ibu bapa juga boleh mengetahui minat, hobi, dan rakan-rakan anak-anak apabila berbual dengan mereka. Amalan yang dimulakan oleh Rasulullah S.A.W ini semestinya memberikan banyak maslahat terhadap ahli keluarga. Sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan usrah akan mengakrabkan sesebuah keluarga untuk lebih mengenali diri masing-masing kerana tak kenal maka tak cinta.

   Akhirukalam, setiap ahli keluarga mestilah berganding bahu menyediakan iklim yang kondusif dalam rumah. Rumah ialah tempat berteduh daripada badai, berehat daripada kepenatan dan membina keperibadian mulia seseorang insan. Ahli keluarga yang terdiri daripada bapa, ibu dan adik-beradik perlulah saling menghormati dan berlaku baik sesame sendiri. Setiap tindakan yang diambil perlulah didahului dengan pemikiran rasional mengenai implikasi dan maslahat sesuatu tindakan untuk mencegah perbalahan dan persengketaan antara keluarga. Jika kita hanya mengikut kata fikiran sahaja tanpa mencuba untuk melihat dunia dari perspektif ahli keluarga yang lain, hubungan kita akan regang dan kita juga yang akan tersakiti pada akhirnya persis peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Ahli keluarga mestilah prihatin dan ringan tulang untuk membantu yang lain serta menjauhi sikap nafsi yang hanya akan mencetuskan pergaduhan yang membobrokkan hubungan kekeluargaan kita. Jika setiap ahli keluarga akur sesame sendiri dan berbagi kasih yang tidak terkira nilainya, tentulah keluarga kita akan hidup dalam keharmonian kerana hubungan kekeluargaan yang rapat. Justifikasinya, setiap ahli keluarga  perlulah bersikap mahmudah antara satu sama lain untuk memelihara ketenteraman dan keharmonian keluarga yang sakinah.

   Berdasarkan huraian-huraian tentang cara-cara untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, izharlah bahawa setiap anggota keluarga perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan keluarga yang sakinah, rahmah dan mawaddah. Untuk merealisasikan impian Rumahku, Syurgaku, ahli-ahli keluarga perlulah mengikis sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sikap tersebut hanyalah akan memburukkan lagi hubungan kekeluargaan yang kian renggang. Peribahasa Melayu yang berbunyi cubit paha kanan, paha kiri sakit juga perlulah menjadi pegangan setiap keluarga agar sama-sama berganding bahu untuk hidup dengan aman dan harmoni tanpa pertelingkahan sesama insan sedarah. Dan Wilcox dan Thad Mumford, penerbit rancangan televisyen yang mahsyur pernah menulis dalam buku mereka bahawa mereka tidak peduli seberapa miskinnya seseorang itu, kerna jika mereka memiliki sebuah keluarga, itu berarti mereka kaya. Pernyataan ini menggambarkan bahawa kewujudan keluarga adalah tidak ternilai harganya dan lebih baik berbanding mempunyai berbilion-bilion ringgit tetapi hidup sebatang kara. Marilah kita sama-sama mengerah keringat memulakan sederap langkah untuk mewujudkan institusi keluarga yang bahagia dunia akhirat kerana langkah pertama itulah yang akan menjadi genesis metamorfosis untuk mewujudkan impian keluarga sakinah yang bukan sekedar mimpi. Sebagai intihanya, setiap ahli keluarga perlulah cakna dalam membina institusi keluarga dengan hubungan yang erat agar hubungan ini tidak akan rapuh dan putus dek sikap nafsi masing-masing.


 (1424 patah perkataan)

-          Heybara  (5/8/2018)

Rujukan:



Image result for bookstagram pinterest



Post Comment
Post a Comment

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature