Top Social

KARANGAN SPM - Kepentingan-kepentingan Sektor Pelancongan

9 Dec 2019
DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!




Dominan : Pelancongan
Kata Kunci: Kepentingan
Sasaran/Subjek: Umum
Jenis: Pendapat (Bahagian B)



KEPENTINGAN-KEPENTINGAN SEKTOR PELANCONGAN



Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa sektor pelancongan merupakan sektor terpenting dalam memajukan sesebuah negara. Sektor pelancongan merupakan suatu sektor yang memerlukan sinergi semua pihak dan rakyat di negara kita dalam ikhtiar mengembangkannya hingga ke seantero dunia. Ketika zaman pra kemerdekaan, kuasa-kuasa imperialis Barat berlumba-lumba untuk menawan Tanah Melayu bagi mengeksploitasi kekayaan bahan mentah di negara kita. Namun kini, penduduk-penduduk dari seluruh pelosok dunia membanjiri negara kita bagi melihat keindahan dan keunikan budaya, sejarah dan kehidupan rakyat di negara kita. Senario ini menjadikan sektor pelancongan yang semakin berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan sebagai salah satu agenda utama dalam usaha kerajaan bagi meningkatkan pembangunan negara kita. Buktinya, kerajaan amat menitikberatkan sasaran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membawa masuk 30 juta pelancong asing yang bakal menyumbang RM100 bilion kepada ekonomi negara menjelang tahun 2020. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada negara untuk semua pihak di negara kita? Tepuk dada, tanyalah selera.



   Antara kepentingan sektor pelancongan ialah peningkatan ekonomi yang amat signifikan hasil kemasukan pelancong-pelancong dari segenap pelosok dunia. Kemasukan pelancong-pelancong ke negara kita telah meningkatkan penukaran mata wang ‘dollar’ kepada ringgit sekaligus meningkatkan nilai mata wang ringgit di dunia. Hal ini dikatakan sedemikian kerana para pelancong akan menggunakan wang ringgit mereka untuk membeli kraf tangan dan hadiah-hadiah lain di negara kita untuk dibawa pulang ke negara masing-masing sebagai cenderahati kepada insan-insan tercinta. Keadaan ini selari dengan hasrat kerajaan melalui ucapan pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng yang menyatakan bahawa industri pelancongan telah menyumbang sebanyak rm201.4 bilion pada tahun 2017. Keuntungan yang diperoleh menjadi dana kerajaan untuk membaikpulih infrastruktur awam negara seperti taman awam dan sekolah-sekolah serta meningkatkan taraf hidup marhaen tempatan untuk hidup dengan lebih selesa. Izharnya, terbuktilah bahawa sektor pelancongan amat penting dalam meningkatkan ekonomi negara kita.



   Dalam nada yang lain, sektor pelancongan juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para penduduk. Rentetan kedatangan pelancong-pelancong yang semakin bertambah hari demi hari, permintaan kepada perkhidmatan penginapan hotel dan perdagangan kraftangan semakin bertambah juga. Keadaan ini membuatkan lebih banyak syarikat yang mengambil peluang keemasan untuk membina hotel-hotel dan pusat penginapan bajet untuk menampung pelancong-pelancong yang datang. Masyarakat yang juga menetap di kampung atau kawasan pedalaman juga dapat menggunakan teknik mereka dalam memproduksikan kraf tangan khas Melayu yang diperbuat daripada rotan dan sumber alam semula jadi yang lain. Secara tidak langsung, ramai masyarakat yang mempunyai kesempatan untuk menceburi industri pelancongan kerana peluang untuk mendapat keuntungan ialah luas. Natijahnya, masyarakat akan berlumba-lumba secara sihat dalam menyediakan perkhidmatan pelancongan yang terbaik kerana bak kata peribahasa rezeki secupak tidak akan menjadi segantang. Sesungguhnya, sektor pelancongan dapat membuka peluang pekerjaan yang luas bagi mayarakat kita.



   Selain itu, sektor pelancongan juga dapat memperlihatkan ketamadunan negara kita yang gemilang dan hebat ke mata dunia. Negara kita kaya dengan sejarah nenek moyang kita dalam proses pembentukan negara yang kita huni sekarang. Tamsilnya, Tanah Melayu suatu  ketika dahulu amat mashyur sebagai pusat perdagangan antara Timur dan Barat kerana kedudukannya yang strategik di antara negara India dan China serta kebijaksanaan sultan-sultan terdahulu dalam mentadbir kerajaan. Rata-rata pelancong yang melawat Malaysia akan singgah ke Kota Melaka untuk menyaksikan tapak bersejarah zaman kegemilangan Kerajaan Melayu-Melaka. Kota A Famosa menjadi bukti zahir yang suatu ketika dahulu telah menjadi kubu pertahanan British dalam usaha menawan Tanah Melayu. Tempat bersejarah lain seperti Tapak Warisan Arkeologi Lenggong yang terletak di hulu Perak merupakan lembah bersejarah di mana pelbagai artifak sejarah purba seperti Perak Man dijumpai di sini. Penemuan-penemuan artifak sejarah purba di sini membuktikan kewujudan tamadun orang Melayu sejak zaman berkurun dulunya. Secara tidak langsung, pelancong-pelancong dapat mempelajari sejarah kegemilangan negara kita apabila melawat tempat-tempat bersejarah ini. Tegasnya, sektor pelancongan dapat membuktikan ketamadunan negara kita di mata dunia dengan bukti-bukti zahir dan kukuh.



   Akhir sekali, sektor pelancongan juga dapat memperkenalkan budaya masyarakat negara kita kepada marhaen dunia. Negara kita yang berbilang kaum mempunyai budaya heterogen yang menjadi daya tarikan kepada pelancong-pelancong luar untuk berkunjung ke negara kita. Di negara kita sahaja, mereka boleh menyaksikan dan merasakan budaya yang berbagai jenis khususnya budaya Melayu, Cina dan India. Contohnya, pelancong dapat mencicipi makanan tradisional dari pelbagai kaum seperti nasi lemak, dim sum dan nasi briyani di mana-mana sahaja. Mereka juga dapat menyaksikan betapa tingginya toleransi antara kaum di Malaysia apabila semua rakyat sama-sama menyambut acara kebudayaan masing-masing seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri untuk kaum Melayu, Tahun Baru Cina untuk kaum China dan Hari Thaipusam bagi kaum India. Warisan kebudayaan inilah yang menjadi khazanah nenek moyang yang patut kita pelihara dan perkenalkan kepada masyarakat luar kerana warisan kita bagaikan kata peribahasa tak lauk dek hujan, tak lekang dek panas. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sektor pelancongan memberikan peluang kepada kita untuk memperkasakan dan memperkenalkan budaya bangsa kita kepada masyarakat luar.



   Berdasarkan huraian-huraian di atas, terbuktilah bahawa terdapat banyak kepentingan sektor pelancongan kepada negara. Sektor pelancongan merupakan sektor yang amat pesat berkembang dan memberikan banyak kemaslahatan kepada kehidupan masyarakat setempat. Kesimpulannya, pihak kerajaan dan semua rakyat  perlulah memainkan peranan masing-masing dalam memperkasakan sektor pelancongan di negara kita kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Marilah kita berganding bahu untuk menggembleng tenaga dalam memaparkan imej yang terbaik bagi negara kita di mata pelancong-pelancong yang berkunjung ke negara kita supaya nama negara kita akan harum di persada dunia. Sesungguhnya, sudah menjadi obligasi bagi rakyat untuk tidak memandang sektor pelancongan dengan sebelah mata sahaja dan menyumbangkan tenaga dalam proses kelancaran sektor pelancongan di negara kita.




Oleh : Hebatalla Kamaluddin
Masa : Jam 2137 (30/7/19)
Patah Perkataan : 900 perkataan
Rujukan :-




Related image
(credit to the rightful owner @ pinterest)


  

4 comments on "KARANGAN SPM - Kepentingan-kepentingan Sektor Pelancongan"
  1. sy nk tanya adakah ini karangan ucapan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ini karangan jenis pendapat tapi boleh saja kalau nak ubah suai jadi ikut format karangan ucapan :)

      Delete
  2. assalamualaikum..mohon izin kongsikan karangan ini dengan murid - murid ...terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumsalam, maaf saya baru perasan komen ini. Silakan cikgu, semoga bermanfaat :D!

      Delete

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature