DISCLAIMER
Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!
Isu: Perayaan di Malaysia
Kata Kunci: Faedah-faedah
Sasaran: Umum
Jenis: Pendapat (bahagian
A)
FAEDAH-FAEDAH PERAYAAN DI MALAYSIA
Sudah
menjadi lumrah bagi setiap masyarakat mempunyai perayaan masing-masing seperti
Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Cina, Perayaan Deepavali dan Hari Gawai. Perayaan
ialah suatu aktiviti kemasyarakatan yang amat digemari oleh rakyat di negara
kita kerana masyarakat akan bersama-sama berkongsi keseronokan dan kegembiraan.
Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan bahawa sebanyak enam
perayaan kaum dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan pada
peringkat kebangsaan. Perayaan-perayaan ini sebenarnya ialah aktiviti
turun-menurun dari zaman nenek moyang kita yang masih dikekalkan hingga saat
ini. Oleh itu, apakah faedah-faedah perayaan di Malaysia?
Salah satu faedah perayaan di Malaysia
adalah untuk mengekalkan amalan ziarah. Marhaen kontemporari kini kurang
bersosial dan menjenguk rakan-rakan, jiran tetangga serta ahli keluarga
yang jauh kerana sibuk dengan pekerjaan dan urusan hidup individu. Maka, perayaan
dianggap sebagai masa pertemuan yang paling sesuai bagi masyarakat kita
berkumpul bersama-sama orang tersayang bagi mengeratkan hubungan silaturahim.
Fenomena ini amat dititikberatkan bagi memperkukuh hubungan dan perpaduan dalam
kalangan masyarakat. Izharnya, perayaan di Malaysia memberi peluang kepada
masyarakat untuk mengekalkan amalan ziarah bagi mengukuhkan hubungan
kemanusiaan.
Dalam nada yang lain, perayaan di Malaysia
memupuk nilai-nilai murni dan rasa syukur. Hal ini bersesuaian dengan tujuan
sesuatu perayaan diadakan. Sebagai tamsilnya, Hari Raya Aidilfitri diraikan
sebagai tanda syukur kaum Muslim atas rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T.
Pada pagi Hari Raya Aidilfitri, ahli-ahli keluarga akan berkumpul bersama-sama
dan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Semasa perayaan diraikan, semua
golongan masyarakat dari yang muda hingga ke tua berkumpul bersama-sama
meraikan kegembiraan. Golongan berdarah muda akan menghormati mereka yang tua dan
mengambil peluang untuk mengenali yang tua dengan lebih dekat. Situasi inilah
yang mencerminkan yang tua dihormati, yang muda disayangi. Tegasnya
perayaan di Malaysia dapat memupuk nilai-nilai murni dan rasa syukur dalam diri
masyarakat.
Akhir sekali, perayaan di Malaysia juga
dapat merapatkan hubungan antara kaum. Konsep rumah terbuka yang diadakan
semasa perayaan menjadi peluang bagi jiran tetangga dan rakan-rakan kita yang
terdiri daripada kaum lain untuk turut serta dalam merayakan perayaan kita. Apabila
wujudnya interaksi antara masyarakat kita yang berbilang kaum, maka
segala salah faham dan prejudis antara satu sama lain dapat dielakkan.
Amalan ini juga membolehkan semua golongan yang berlainan pegangan terhadap
agama, politik dan idealogi untuk melupakan perbezaan masing-masing dan
meraikan kegembiran bersama-sama. Situasi ini persis peribahasa buang yang
keruh, ambil yang jernih. Konsekuensinya, perpaduan dan keharmonian
negara kita dapat dikekalkan walaupun negara kita terdiri daripada pelbagai
kaum dan etnik. Tuntasnya, perayaan di Malaysia dapat merapatkan hubungan
antara kaum dan mengekalkan perpaduan rakyat negara kita.
Kesimpulannya, sambutan perayaan di negara
kita sememangnya memberikan banyak maslahat kepada individu, masyarakat
dan negara. Semua golongan perlulah ikut serta dalam merayakan perayaan
masing-masing kerana perayaan inilah yang menjadi warisan khazanah nenek moyang
kita terdahulu yang amat mementingkan kebersamaan dan kegembiraan yang dikongsi
bersama. Perayaan menjadi identiti sesuatu masyarakat yang mengingatkan kita
kepada asal usul kita tidak seperti kacang yang melupakan kulitnya. Jika amalan
ini dibudayakan, tentulah hasrat negara untuk mencapai Gagasan 1 Malaysia
akan tercapao dan tidak akan menjadi
sekedar angan-angan Mat Jenin dan impian di awang-awangan.
(501 patah
perkataan)
-
Hebatallah Kamaluddin, 5KAA (5 April 2019)
Rujukan:
(credit to the rightful owner @ pinterest)
Post Comment
Post a Comment
Your thoughts