Top Social

KARANGAN SPM - Kepentingan Perpaduan Kaum

9 Dec 2019

DISCLAIMER

Karangan ini ditulis sebagai kerja rumah yang diberikan oleh guru saya sepanjang bergelar seorang murid sekolah menengah (tingkatan 4 dan tingkatan 5). Saya menggunakan pelbagai sumber dan karangan-karangan nukilan murid/guru lain sebagai rujukan (sumber dinyatakan di akhir karangan). Karangan ini tidak dibetulkan selepas disemak jadi kemungkinan terdapat beberapa kesalahan lewah dan kesalahan tatabahasa. Semoga karangan ini bermanfaat untuk calon-calon PT3/SPM yang lain!


Isu: Perpaduan kaum
Kata Kunci: Kepentingan
Sasaran: Masyarakat
Jenis: Pendapat (Bahagian A)

KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM



Malaysia ialah negara yang namanya harum di persada dunia kerana kehebatan rakyatnya dalam mengekalkan perpaduan kaum yang berbilang-bilang bangsa. Pada zaman dahulu, penjajah British telah membawa masuk kaum Cina dan India untuk kepentingan mereka sendiri dalam usaha mengeksploitasi ekonomi yang mewujudkan jurang sosial dan ekonomi yang amat besar antara ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu. Namun kini, masyarakat yang berbilang bangsa telah berjaya mengasimilasikan budaya masing-masing untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu teguh dan bersatu hati persis peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Namun persoalannya, apakah  kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat?



   Salah satu kepentingan perpaduan kaum adalah bagi menjamin keamanan negara. Perpaduan antara rakyat tidak kira bangsa dan agama adalah sangat vital supaya peristiwa berdarah yang terjadi pada 13 Mei 1969 akibat rusuhan antara kaum Cina dan Melayu yang telah mengorbankan banyak nyawa nirmala yang tidak bersalah tidak terulang kembali. Jika kaum-kaum tidak mempunyai persefahaman dan toleransi antara satu sama lain, persengketaan akan dapat dicetuskan dengan mudahnya. Keadaan ini akan menyebabkan hubungan yang dingin antara masyarakat yang berpecah belah dan akan tercetuslah pertengkaran-pertengkaran yang menggugat keamanan negara. Tegasnya, perpaduan kaum adalah penting untuk mengekalkan keamanan negara agar kemerdekaan negara kita dapat dikekalkan.



   Dalam nada yang lain, perpaduan kaum dapat memajukan ekonomi negara.  Masyarakat yang bersatu pada tentulah akan menggembleng tenaga bersama agar dapat memajukan negara mengikut kebolehan dan kepakaran masing-masing tanpa mengira ras dan agama masing-masing. Tamsilnya, dalam perniagaan, masyarakat Melayu tidak hanya akan membeli barang dari penjual Melayu tetapi mereka akan turut membeli barang-barang yang dijual oleh kaum lain. Diskriminasi dalam kumpulan masyarakat dan pekerjaan dapat dielakkan kerana semua orang yang mempunyai semangat cinta akan negara mempunyai tujuan dan matlamat yang sama iaitu untuk menaikkan taraf hidup rakyat negara kita. Sesungguhnya, perpaduan kaum amat penting bagi meningkatkan ekonomi negara untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.



   Akhir sekali, imej negara akan dapat ditingkatkan melalui perpaduan kaum.  Kita boleh lihat sendiri sikap toleransi dan hormati-menghormati yang dicerminkan oleh masyarakat kita apabila menyambut perayaan kaum masing-masing. Contohnya, kaum Melayu menghormati perayaan Tahun Baru Cina yang diadakan, malahan turut ikut serta memeriahkan perayaan tersebut dan berkongsi euforia momen-momen terindah bersama. Keadaan inilah yang menarik perhatian pelancong-pelancong asing untuk datang ke Malaysia bagi menyaksikan suasana yang amat jarang dilihat di negara asal mereka. Perpaduan kaum menjadikan rakyat Malaysia mudah untuk bergaul mesra dengan masyarakat luar kerana terbiasa hidup dalam komuniti yang mempunyai kaum yang pelbagai. Konsekuensinya, masyarakat Malaysia boleh bersikap ramah dengan para pelancong yang datang dari pelbagai pelosok dunia. Intihanya, perpaduan kaum secara tidak langsung dapat meningkatan imej negara kita sebagai negara yang sejahtera, bertoleransi dan bersatu padu di mata dunia.



   Berdasarkan huraian-huraian yang telah dijelaskan, izharlah bahawa perpaduan kaum sememangnya memberi banyak maslahat dan impak dalam kehidupan kita. Persefahaman dan sikap hormat-menghormati antara kaum menjadi pemangkin utama dalam pencetusan perpaduan kaum. Konklusinya, marhaen perlulah mempunyai semangat kekitaan agar rakyat tidak berpecah belah. Marilah kita bersama-sama bersinergi dalam mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan tidak menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Jika semua rakyat bersatu padu dengan mengetepikan perbezaan, tentulah perpaduan dan permuafakatan dapat dikecapi.



Oleh Hebatallah Kamaluddin (22/4/2019)
534 patah perkataan



Related image
(credit to the rightful owner @ pinterest) 
11 comments on "KARANGAN SPM - Kepentingan Perpaduan Kaum"
  1. Terima kasih diatas perkongsian

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana berkongsi karangan ini.Cuma nak ingatkan ejaan betul ialah Pembetung dan bukannya pembentung.Perkataan banyak dieja salah.Oleh itu hanya nak kongsi dan ingatkan sesiapa yang baca :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. @U N K N O W N ; Terima kasih atas pembetulan! Saya dah baiki semula. Jika ada kesalahan lain mohon kongsikan ya! :)

      Delete
  3. Helo, terima kasih atas perkongsian. Amat membantu saya merangka tugasan karangan bahasa melayu.

    ReplyDelete
  4. terima kasih atas perkongsian penulis. blog pon cantik,sedap nk baca

    ReplyDelete
  5. penulisan yang baik. izinkan sy share kepada pelajar sy

    ReplyDelete
  6. penulisan yang sangat gramatis.terima kasih atas perkongsianπŸ’œ

    ReplyDelete
  7. terima kasih atas ilmu yang dikongsi <3

    ReplyDelete

Your thoughts

Auto Post Signature

Auto Post  Signature